Oleh : Zatul Yahaya & Nadia Aris
SHAH ALAM - Bekas Timbalan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Media (SKMM) dan isteri keduanya menerima hukuman penjara masing-masing lima dan empat tahun serta denda RM 2.5 juta selepas disabitkan bersalah menerima suapan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini hari ini.
Nor Mohamed Khan Mohamed Mastan,40 dihukum penjara lima tahun serta denda RM 1.25 juta manakala isterinya Suraya Hani Ahmad Zaki, 33 seorang pengurus akaun di syarikat swasta menerima hukuman penjara empat tahun serta denda RM 1.25 juta.
Hakim M.Bakri Abd Majid membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
Bakri dalam hujah penghakimannya berkata, hukuman tersebut dibuat setelah mengambil kira bahawa ia merupakan kesalahan pertama yang dilakukan oleh kedua tertuduh dan hujah peguambela bahawa tertuduh pertama masih perlu menangung keluarganya.
Bagaimanapun menurutnya, kedua tertuduh sepatutnya berfikir dahulu sebelum melakukan kesalahan tersebut kerana kesalahan rasuah adalah suatu perkara serius yang boleh meruntuhkan sesebuah institusi.
Katanya, sebagai kakitangan awam, tertuduh pertama sepatutnya memberikan perkhidmatan tanpa mengharapkan balasan.
"Hukuman penjara lima tahun buat tertuduh pertama ini adalah kerana beliau seorang penjawat awam tetapi bertindak sebagai perancang utama bagi kesalahan ini.
"Perbuatan ini bukan sahaja mencemarkan nama tertuduh tetapi juga nama perkhidmatan awam dan mahkamah berharap bahawa ini akan menjadi pengajaran buat tertuduh dan masyarakat," katanya.
Pasangan suami isteri tersebut terdahulu, pada 25 Februari 2013 telah diperintahkan oleh hakim untuk membela diri bagi dua dakwaan atas kesalahan di bawah Akta SPRM dan pertuduhan pilihan, Seksyen 16(a)(A) dibaca bersama Seksyen 28(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan satu kesalahan Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan.
Kedua tertuduh didakwa bersubahat menerima suapan wang tunai RM 250,000.00 daripada Ketua Pegawai Operasi Syarikat Siaga Informatics Sdn Bhd pada 14 Mac 2012 kononnya sebagai upah setelah membantu syarikat tersebut memperoleh surat penganugerahan bagi suatu tender iaitu untuk mereka bentuk, melaksana, menguji dan pentauliahan makmal forensik digital di SKMM.
Noor Mohamed Khan didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Siaga Informatics di Suite 2-6, Level 6, Jalan USJ 9/5T, Subang Business Centre, Subang Jaya, kira-kira jam 10.25 pagi pada 14 Mac lalu.
Pihak Pendakwaan SPRM diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Wong Poi Yoke manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguambela , Nasir Aziz.
Sumber dari http://www.sprm.gov.my/skmm-dihukum-didenda.html
No comments:
Post a Comment