Oleh : Maizatul Akmal
PUTRAJAYA – Pihak Berkuasa Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) hari ini menandatangai Memorandum Persefahaman bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai satu inisiatif untuk perkongsian strategik dalam usaha pencegahan rasuah dalam perkhidmatannya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dato’ Sri Abu Kassim Mohamed berkata inisiatif yang diambil oleh agensi dibawah seliaan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) ini adalah satu perubahan yang jelas dan penting dalam menjayakan usaha-usaha pencegahan bersama Suruhanjaya ini.
Katanya inisiatif pencegahan awal yang diambil oleh agensi ini adalah pendekatan yang cukup baik bagi mengatasi masalah rasuah terutamanya dalam mengurangkan ruang dan peluang perlakuan rasuah.
“Melalui MoU ini pihak SPRM akan memberi tunjuk ajar atau latihan penekanan dari segi saluran maklumat dan kawalan dalaman sebagai panduan bagi polisi yang tidak jelas.
“Kita juga akan menghantar pasukan pencegahan serta memberi tumpuan kepada aspek latihan serta pendidikan pencegahan termasuk melatih pegawai dari segi pengurusan risiko rasuah dan merangka pelan pencegahan,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Antara tetamu kehormat yang menghadiri majlis menandatangani memorandum tersebut ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Seri Mohd Shafie Apdal, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Dato’ Hasan bin Malek, Pengerusi RISDA Malaysia, Tan Sri Dr. Rahim Tamby Chik, pihak pengurusan dan pegawai kanan dari kedua-dua jabatan.
Selain dari upacara menandatangani perjanjian persefahaman diantara kedua pihak, majlis turut menyaksinya penyerahan cenderahati antara kedua jabatan.
Antara isi kandungan memorandum terseburt adalah untuk mewujudkan kerjasama berterusan dari aspek pengesanan dan pembanterasan kes-kes jenayah rasuah serta mengadakan perkongsian bestari dalam usaha memperkukuhkan amalan nilai murni dan integriti serta memberi khidmat rundingan.
Saringan/Tapisan
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato’ Sutinah Sutan turut mengulas mengenai saringan integriti yang dilakukan oleh SPRM bagi senarai nama calon pilihanraya yang dikemukakan oleh parti politik pada sidang media selepas majlis tersebut.
Menurutnya, saringan integriti tersebut dibuat adalah untuk memastikan calon-calon yang terlibat dalam pilihanraya tidak terlibat dengan rasuah.
Katanya, pihak Suruhanjaya bagaimanapun hanya membuat saringan berdasarkan rekod yang sedia ada dan keputusan saringan akan terus dikemukakan kepada parti yang menghantar senarai nama tersebut.
“Kita ada menerima permohonan untuk saringan daripada semua parti setakat ini dan keputusan hanya akan diberikan kepada pihak yang memohon.
“Bagaimanapun perlu diingat bahawa SPRM hanya melakukan saringan tetapi keputusan muktamad adalah daripada parti politik tersebut bukan daripada SPRM,” katanya ketika ditanya oleh media mengenai saringan calon parti politik pada pilihanraya kali ini.
Sumber dari http://www.sprm.gov.my/mou-risda-sprm.html
No comments:
Post a Comment