Oleh : Zatul Yahaya & Nadia Aris
SHAH ALAM - Seorang anggota polis berpangkat Sarjan Mejar dan dua rakannya berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas kesalahan menerima suapan RM 10,000.00.
Nordin Sadakathullah, 51, Mohd Arwan Abu Bakar, 28 dan Mohd Khairu Mat Ali, 27 didakwa melakukan kesalahan bersama di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (ASPRM) 2009.
Ketiga –tiga tertuduh didakwa secara bersama, pada 10 April 2012, antara jam 5.30 petang hingga 10 malam, di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Selangor, sebagai seorang ejen Kerajaan Malaysia iaitu seorang berpangkat Sarjan Mejar dan dua lagi Lans Koperal yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Shah Alam.
Ketiga-tiganya telah menerima rasuah wang tunai berjumlah RM 10,000.00 daripada Nor Arman Abu Samah dan Halid Usmad sebagai dorongan untuk tidak melakukan suatu perbuatan iaitu melepaskan Zulkarnain Deraman yang disyaki terlibat dalam kes curi lori yang merupakan kesalahan dibawah Seksyen 378 Kanun Keseksaan.
Hakim Mahkamah Jenayah Khas Rasuah, Asmadi Husin menetapkan jumlah jaminan RM 5,000.00 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan 6 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula.
Pendakwaan SPRM diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Lokman Kasim manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili oleh peguambela, M. Hafiz Zainol Abidin.
Sekiranya sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.
Sumber dari http://www.sprm.gov.my/polis-tidak-mengaku.html
No comments:
Post a Comment