Sunday, 7 April 2013

Rayuan Bekas Ceo Dan Setiausaha PUNB Ditolak, Hukuman Penjara Kekal


PUTRAJAYA -  Hakim Mahkamah Rayuan  memutuskan menolak rayuan dan mengekalkan  hukuman penjara serta sabitan yang ditetapkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi ke atas dua bekas pegawai Permodalan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) membabitkan pemalsuan Sijil bon bernilai USD5 billion (RM17 billion) kekal bermula hari ini.

Hakim, Dato' Azhar Mohammad membacakan keputusan tersebut kepada  bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PUNB, Ahmadi @ Ahmad Zukni Johari, 71, dan bekas Setiausaha PUNB, Mohamad Aminuddin Mohamed Zain, 54, selepas  rayuan kedua tertuduh ditolak.

Kedua-duanya  dituduh di bawah Seksyen 467 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama apabila dengan niat bersama melakukan pemalsuan ke atas suatu dokumen iaitu satu cagaran berharga,  Sijil Bon Perbadanan Usahawan Nasional Berhad bertarikh 13 Oktober 2000.

Perbuatan tersebut dilakukan pada 13 Oktober 2000 di Perbadanan Usahawan Nasional Berhad, Wisma UOA 11, No. 21, Jalan Pinang, di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur membabitkan bon  bernilai USD5,000,000,000 (billion).

Dalam hujahannya Azhar memaklumkan keputusan yang dibuat bersama Yang Arif Datuk Sri Abu Samah Nordin dan Dato' Mohd Zawawi Salleh itu turut mengambil kira keterangan yang telah dikemukakan pada 1 dan 13 Mac lalu.

Menurut beliau dalam konteks kes ini sama ada perayu punya keuntungan atau PUNB mengalami kerugian bukan elemen-elemen yang penting.

Katanya merujuk kepada hujah Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Dato' Abdul Razak Musa bahawa Hakim Mahkamah Sesyen telah terkhilaf pada pembelaan oleh perayu di mana niat atau mens rea perayu tidak dapat dilihat sesiapa, bagaimanapun ia dapat dilihat dalam kes ini.

"Dalam surat kepada Perdana Menteri, perayu pertama masih menyembunyikan penerbitan Sijil bon berkenaan.

"Sekiranya perayu jujur, dia sudah menyatakan penerbitan sijil tersebut dalam suratnya.

"Kami memutuskan Hakim Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan yang betul," katanya.

Terdahulu pada 5 Disember 2011, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Su Geok Yiam  menjatuhkan masing-masing hukuman penjara lima dan empat tahun bagi kesalahan tersebut.

Dalam penghakimannya, Hakim Geok Yiam berkata, Hakim Mahkamah Sesyen, S.M. Komathy Suppiah telah terkhilaf semasa memutuskan pembebasan tertuduh pada 28 Januari 2010.

Komathy dalam keputusannya membebaskan kedua-dua tertuduh berdasarkan surat yang dihantar oleh Ahmadi kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bertarikh 11 Disember 2000 menjelaskan tindakannya mengeluar bon tersebut.

Menurut Geok Yiam, wujud ketidak jujuran oleh tertuduh-tertuduh yang telah melakukan kesalahan serius meskipun pihak pembelaan berhujah, kedua-duanya tidak berniat serong serta tidak mengakibatkan kerugian yang besar terhadap PUNB.

Menurut beliau, tertuduh jelas bersalah apabila tidak mendapat kebenaran Lembaga Pengarah PUNB walaupun sebenarnya ia diperlukan untuk mengeluarkan bon.

Ahmadi dihukum penjara lima tahun manakala Mohamad Aminuddin pula penjara empat tahun.

Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman terhadap kedua-dua tertuduh.

Peguam Ahmadi, Sulaiman Abdullah, dalam hujahnya menyatakan kesalahan yang telah dilakukan tidak melibatkan kepentingan umum dimana tiada kehilangan yang berlaku.

Sepanjang 12 tahun tempoh perbicaraan pelbagai perkara telah berlaku kepada tertuduh termasuk kehilangan sumber kewangan dan penceraian.

Dato' Harpal Singh yang mewakili Aminuddin  pula turut menyatakan kepada mahkamah bahawa anak guamnya menganggur ketika ini dan masih mempunyai anak kecil.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM,  Dato' Razak dalam hujahannya mengesahkan kedua-dua tertuduh tiada rekod kesalahan lampau dan hanya itu kesalahan yang dilakukan.

Bagaimanapun menurut beliau nilai bon yang terlibat adalah dalam jumlah yang luar biasa dan kes sebegini bukan sahaja boleh memberi kesan kepada PUNB tetapi juga kepada pihak kerajaan.

Malah, beliau menegaskan, kes ini mampu dijadikan pengajaran kepada mana-mana orang yang cuba menggunakan kedudukan untuk kepentingan peribadi.

No comments:

Post a Comment

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Blok D6, Kompleks D
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
Peti Surat 6000, 62007 Putrajaya