Berita Oleh : Maizatul Akmal Yahaya
KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Akaun Pelanggan Serantau Alcatel Network Systems (M) Sdn Bhd, menerima hukuman penjara dua tahun dan denda RM 125,000.00 selepas disabitkan bersalah memberi rasuah di Mahkamah Sesyen Jalan Duta hari ini.
Radziah Ani, 51 disabitkan pada kesalahan yang dilakukan dibawah Seksyen 10(b)(bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 apabila cuba menyogok seorang pegawai Telekom Malaysia Berhad (TM) tujuh tahun lalu.
Radziah Ani, 51 disabitkan pada kesalahan yang dilakukan dibawah Seksyen 10(b)(bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 apabila cuba menyogok seorang pegawai Telekom Malaysia Berhad (TM) tujuh tahun lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen Jenayah 8, Rozillah Salleh memutuskan bahawa keterangan pihak pembelaan gagal manakala kenyataan tertuduh adalah berbentuk penafian semata-mata, tidak konsisten dan tidak munasabah.
Beliau berpendapat hujah pihak pembelaan bahawa dua saksi Roslan Aziz ( kakitangan Alcatel) dan Mohd Asri berkonspirasi adalah tidak berasas dan mahkamah berpendapat ianya tidak munasabah.
Katanya, dakwaan tersebut hanya dibangkitkan oleh tertuduh di peringkat pembelaan dan tidak direkod dalam kenyataan tertuduh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan tertuduh juga tidak membuat aduan pada mana-mana pihak tentang perkara tersebut.
Mahkamah tidak menerima pembelaan tertuduh bahawa beliau adalah mangsa dan turut meletakkan kesalahan kepada majikannya, syarikat telekomunikasi Alcatel serta amalan pemberian rasuah yang diamalkan oleh syarikat tersebut adalah tidak relevan.
Malah menurut Rozillah, ianya menguatkan lagi pendakwaan bahawa amalan Alcatel membayar rasuah kepada pegawai TM.
Terdahulu pada 19 Julai 2011, tertuduh didakwa tuduhan dibawah Seksyen 10(b)(bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 apabila 17 Februari 2006, cuba memberi suapan berbentuk cek kepada RM 25,000.00 kepada Penolong Pengurus Bahagian Perolehan TM Mohd Asri Idris.
Ianya sebagai upah bagi pembekalan maklumat tender "Wideband Code Division Multiple Access (WDCMA) Mobile Communication System and The Provision of Works Phase II"
Radziah mengaku tidak bersalah atas tuduhan yang dikenakan keatasnya dan dibicarakan.
Pada 14 Ogos tahun lalu,di Mahkamah Sesyen yang sama, hakim memerintahkan tertuduh membela diri bagi kesalahan tersebut setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
Timbalan Pendakwaraya Zulqarnain b. Hassan dalam hujahannya yang disampaikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Wan Ahmad Nizam Wan Omar menyatakan bahawa kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius, dimana tertuduh turut menikmati insentif dan bonus hasil kejayaan mendapatkan tender tersebut sedangkan Mohd Asri diberhentikan.
Katanya amalan pemberian rasuah oleh tertuduh memberi imej yang buruk kepada syarikat swasta terutama pada syarikat -syarikat antarabangsa seterusnya ia akan beri kesan kepada persepsi syarikat antarabangsa kepada Malaysia.
Tertuduh yang diwakili Penguambelanya Dato' Seri Shafee Abdullah memohon penangguhan hukuman penjara dan denda kepada mahkamah.
Hakim membenarkan penangguhan hukuman penjara dan bayaran denda sehingga Jumaat minggu hadapan manakala wang jaminan dinaikkan kepada RM 15,000.00 dengan dua penjamin.
Tertuduh kini berkerja dengan sebuah syarikat telekomunikasi.
Seramai sembilan orang saksi pendakwaan dan sembilan saksi pembelaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan berlangsung.
No comments:
Post a Comment