Wednesday, 3 April 2013

Pengusaha Dituduh Rasuah RM10,000


SEREMBAN, 15 Mac 2013 – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini telah menuduh seorang pengusaha Perkhidmatan pengangkutan di Mahkamah Khas Rasuah Seremban, di bawah seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.

Sakti Vellu Nagoorkani, 37, didakwa memberikan suapan wang tunai sebanyak RM 10,000.00 kepada Mohd Faruk Abdul Wahab, yang bertugas di Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Cawangan Sepang, Selangor.

Suapan tersebut adalah sebagai dorongan kepada Mohd Faruk supaya tidak mengambil tindakan ke atas tertuduh di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, kerana memiliki barang kawalan yang disyaki minyak diesel bersubsidi sebanyak lebih kurang 1000 liter di dalam tangki lori rigid nombor pendaftaran WFN7758 yang telah diubahsuai.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 11 Mac 2013, jam lebih kurang 9.10 malam, di Lot 10131 – 10138, Batu 13, Jalan Linsum, Rantau, dalam daerah Seremban, Negeri Sembilan.

Tertuduh tidak mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan ke atasnya. Hakim Datin Nursinah Azmi membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM 5,000.00 dan seorang penjamin serta menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 15 April 2013.

Pendakwaan diwakili oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Sevan K. Ponnan manakala tertuduh diwakili oleh peguam Karthigesan Shanmugam.

Bagi kesalahan di atas, tertuduh boleh dihukum di bawah seksyen 24 ASPRM 2009 iaitu penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada 5 kali ganda nilai suapan atau RM 10,000.00 mana-mana
yang lebih tinggi.

No comments:

Post a Comment

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Blok D6, Kompleks D
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
Peti Surat 6000, 62007 Putrajaya