Tuesday, 30 April 2013

Malaysia negara paling rasuah di dunia


KUALA LUMPUR 13 Dis: Badan pemantau rasuah, Transparency International (TI) berkata, Malaysia mendapat markah terburuk dalam Kajiselidik Pembayar Rasuah 2012, menurut laporan The Wall Street Journal 11 Disember lalu.
Mengikut laporan itu, 50 peratus syarikat di Malaysia pernah kehilangan kontrak ekoran syarikat pesaing yang membayar rasuah. Mexico pula mendapat peratusan kedua terendah dengan 48 peratus.
"Ia menggambarkan sikap syarikat swasta di Malaysia, menunjukkan rasuah dalam sektor awam boleh jadi sistemik dan pada satu sisi diinstitusikan...
"Syarikat luar yang ingin bekalkan (produk atau perkhidmatan) perlu waspada yang mereka mungkin akan diminta untuk beri rasuah," kata Presiden TI-Malaysia, Paul Low dalam laporan itu.
Memetik laporan itu, di sebalik perang anti-rasuah yang berprofil tinggi, separuh dari eksekutif korporat yang terlibat dalam kajiselidik TI itu percaya bahawa pesaing mereka mendapatkan perniagaan melalui rasuah.
Menurut Pengarah Pencegahan Rasuah Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU), Ravindran Devanugam dalam laporan itu, Datuk Seri Najib Razak sejak menjadi Perdana Menteri berikrar menghapuskan rasuah dan mendapatkan semula keyakinan umum.
"Beratus kes disiasat. Kerajaan menubuhkan mahkamah istimewa dan dalam langkah memperkenalkan hukuman yang lebih berat," kata Ravindran seperti dipetik.
Namun, markah keseluruhan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah TI merosot dalam tiga tahun berturut-turut, kata laporan itu lagi.
Pada 2011, Malaysia mendapat 4.3 markah, lebih rendah daripada 2012 (4.4 markah) dan jauh berbeza berbanding penanda aras kerajaan, iaitu 4.9 markah.
Dalam kajiselidik itu, Jepun mendapat markah terbaik dengan 2 peratus, Singapura di tangga kedua dengan 9 peratus, China dengan 27 peratus dan Indonesia, yang memiliki reputasi dalam soal rasuah, malah mendapat markah lebih baik dari Malaysia dengan 47 peratus, kata laporan itu.

Thursday, 25 April 2013

Video:Cost of Greed (2011)


"Cost of Greed (2011)"
Procuratorial Culture and Article Association of China, PRC

This video win the most popular PSA video in International Anti-Corruption Video Competition 2011 held in ICAC Hong Kong.

Tuesday, 16 April 2013

RISDA & SPRM Tandatangani MoU


Oleh : Maizatul Akmal
PUTRAJAYA – Pihak Berkuasa Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA)  hari ini menandatangai Memorandum Persefahaman bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai satu inisiatif untuk perkongsian strategik dalam usaha pencegahan rasuah dalam perkhidmatannya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dato’ Sri Abu Kassim Mohamed berkata inisiatif yang diambil oleh agensi dibawah seliaan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) ini adalah satu perubahan yang jelas dan penting dalam menjayakan usaha-usaha pencegahan bersama Suruhanjaya ini.

Katanya inisiatif pencegahan awal yang diambil oleh agensi ini adalah pendekatan yang cukup baik bagi mengatasi masalah rasuah terutamanya dalam mengurangkan ruang dan peluang perlakuan rasuah.

“Melalui MoU ini pihak SPRM akan memberi  tunjuk ajar atau latihan  penekanan dari segi saluran maklumat dan kawalan dalaman sebagai panduan bagi polisi yang tidak jelas.

“Kita juga akan menghantar pasukan pencegahan serta memberi tumpuan kepada aspek latihan  serta pendidikan pencegahan termasuk melatih pegawai dari segi pengurusan risiko rasuah dan merangka pelan pencegahan,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Antara tetamu kehormat yang menghadiri majlis menandatangani memorandum tersebut ialah Menteri  Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Seri Mohd Shafie Apdal, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Dato’ Hasan bin Malek, Pengerusi RISDA Malaysia, Tan Sri Dr. Rahim Tamby Chik, pihak pengurusan dan pegawai kanan dari kedua-dua jabatan.

Selain dari upacara menandatangani perjanjian persefahaman diantara kedua pihak, majlis turut menyaksinya penyerahan cenderahati antara kedua jabatan.

Antara isi kandungan memorandum terseburt adalah untuk mewujudkan kerjasama berterusan dari aspek pengesanan dan pembanterasan kes-kes jenayah rasuah serta mengadakan perkongsian bestari dalam usaha memperkukuhkan amalan nilai murni dan integriti serta memberi khidmat rundingan.

Saringan/Tapisan

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato’ Sutinah Sutan turut mengulas mengenai saringan integriti yang dilakukan oleh SPRM bagi senarai nama calon pilihanraya yang dikemukakan oleh parti politik pada sidang media selepas majlis tersebut.

Menurutnya, saringan integriti tersebut dibuat adalah untuk memastikan calon-calon yang terlibat dalam pilihanraya tidak terlibat dengan rasuah.

Katanya, pihak Suruhanjaya bagaimanapun hanya membuat saringan berdasarkan rekod yang sedia ada dan keputusan saringan akan terus dikemukakan kepada parti yang menghantar senarai nama tersebut.

“Kita ada menerima permohonan untuk saringan daripada semua parti setakat ini dan keputusan hanya akan diberikan kepada pihak yang memohon.

“Bagaimanapun perlu diingat bahawa SPRM hanya melakukan saringan tetapi keputusan muktamad adalah daripada parti politik tersebut bukan daripada SPRM,” katanya ketika ditanya oleh media mengenai saringan calon parti politik pada pilihanraya kali ini.

Monday, 15 April 2013

Dua Dituduh Menyamar Sebagai Pegawai SPRM


KUANTAN – Dua sahabat didenda  antara RM 3000.00 ke RM 6000.00 setiap  seorang selepas mengaku bersalah menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Sesyen Kuantan, semalam.

Pekerja kontrak, Rosasuan Rosly, 35 mengaku salah terhadap satu pertuduhan menerima suapan dibawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang dikenakan keatasnya.

Manakala  bagi pertuduhan kedua, tertuduh dan rakannya Sharul Nizam Tajul Arul ,43 mengaku salah terhadap pertuduhan bersama menyamar sebagai Pegawai SPRM dibawah Seksyen 416 Kanun Keseksaan.

Hakim Fathiyah Kadir menetapkan denda RM 3000.00 bagi setiap kesalahan yang dikenakan kepada  Rosasuan manakala denda RM3000.00 dikenakan kepada Sharul Nizam.

Bagi pertuduhan pertama Rosasuan didakwa melakukan kesalahan dibawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan apabila pada 14 Julai 2010, jam lebih kurang 7.09 malam di CIMB Berhad Cawangan Bera,  Bera, Pahang telah secara rasuah menerima suapan  wang tunai RM 2,000.00 melalui akaun bank miliknya apabila menipu dengan jalan samaran iaitu menyamar sebagai Pegawai SPRM  untuk tidak melaporkan berhubung kegiatan aktiviti pembalakan haram yang dikatakan dilakukan oleh Amir bin Abdul Rahman.

Manakala bagi pertuduhan bersama,  kedua tertuduh didakwa dengan niat bersama pada 12 Julai 2010, jam lebih kurang 7.20 malam di Gerai No. 1 Restoran Man Corner, Bera, Pahang, telah secara rasuah menerima suapan iaitu wang tunai RM 300.00 daripada Amir bin Abdul Rahman dengan menipu dengan jalan samaran iaitu menyamar sebagai Pegawai  SPRM untuk tidak melaporkan berhubung kegiatan aktiviti pembalakan haram yang dikatakan dilakukan oleh Amir bin Abdul Rahman.

Pihak pendakwaan SPRM, diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syafinas  Shahbudin manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sunday, 14 April 2013

3 Mengaku Tidak Bersalah Terima Suapan


Oleh : Zatul Yahaya & Nadia Aris
SHAH ALAM - Seorang anggota polis berpangkat Sarjan Mejar dan dua rakannya berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas kesalahan menerima suapan RM 10,000.00.

Nordin Sadakathullah, 51, Mohd Arwan Abu Bakar, 28 dan Mohd Khairu Mat Ali, 27  didakwa melakukan kesalahan bersama di bawah Seksyen  17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (ASPRM) 2009.

Ketiga –tiga tertuduh didakwa secara bersama, pada 10 April 2012, antara jam 5.30 petang hingga 10 malam,  di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam,  Selangor, sebagai seorang ejen Kerajaan Malaysia iaitu seorang berpangkat Sarjan Mejar dan dua lagi Lans Koperal yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Shah Alam.

Ketiga-tiganya telah menerima rasuah wang tunai berjumlah RM 10,000.00 daripada Nor Arman  Abu Samah dan Halid Usmad sebagai dorongan untuk tidak melakukan suatu perbuatan iaitu melepaskan Zulkarnain Deraman yang disyaki terlibat dalam kes curi lori yang merupakan kesalahan dibawah Seksyen 378 Kanun Keseksaan.

Hakim Mahkamah Jenayah Khas Rasuah,  Asmadi Husin menetapkan jumlah jaminan RM 5,000.00 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan 6 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula.

Pendakwaan SPRM diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Lokman Kasim manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili oleh peguambela, M. Hafiz Zainol Abidin.

Sekiranya sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.

Friday, 12 April 2013

Menyamar TPR SPRM, Penganggur Dihukum Penjara 13 Tahun Dan Dua Sebatan


KUALA LUMPUR – Seorang penggangur yang mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes penipuan dan penyamaran menerima hukuman penjara 13 tahun dan denda dua sebatan setelah disabitkan bersalah menyamar sebagai Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Hakim Mahkamah Sesyen  Jenayah 12 (Harta Intelek), Hasbi Hasan menetapkan hukuman tersebut keatas tertuduh Ravi A/L M.Krishna, 47 selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan kes tersebut melampaui keraguan munasabah.

Tertuduh didakwa melakukan dua kesalahan dibawah Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan menipu dan penyamaran.

Pertuduhan pertama di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan, tertuduh telah menyamar sebagai Timbalan Pendakwaraya SPRM, Mohd Sophian bin Zakaria dan menipu seorang pegawai polis, Zainal bin Maliki pada 25 Mei 2011 jam lebih kurang jam 8.00 malam di Kajang, Selangor.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan dibawah 420 Kanun Keseksaan apabila pada 26 Mei 2011 di Bank Simpanan Nasional, Sungai Besai Kuala Lumpur jam lebih kurang 9.09 pagi.

Tertuduh telah menipu Zainal Bin Maliki dengan memperdayakan beliau untuk mempercayai bahawa tertuduh merupakan Timbalan Pendakwaraya SPRM Kuala Lumpur yang akan menyelesaikan kes rasuah dan mendorong  Zainal supaya menyerahkan wang berjumlah RM 5,000.00 yang mana beliau tidak akan menyerahkan sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Pada penghakimannya, Hakim Hasbi Hasan turut mengambil kira rekod kesalahan lampau tertuduh iaitu mempunyai empat rekod jenayah dari tahun 1999 hingga 2006.

Bagi pertuduhan pertama tertuduh dihukum lima tahun penjara manakala pertuduhan kedua tertuduh dikenakan lapan tahun penjara dan dua sebatan.

Pendakwaan SPRM diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nur manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Wednesday, 10 April 2013

Sajak Amplop-Amplop


Amplop-amplop di negeri amplop
Mengatur dengan teratur
Hal-hal yang tak teratur menjadi teratur
Hal-hal yang teratur menjadi tak teratur
Memutuskan putusan yang tak putus
Membatalkan putusan yang sudah putus

Amplop-amplop menguasai penguasa
Dan mengendalikan orang-orang biasa
Amplop-amplop membeberkan dan menyembunyikan
Mencairkan dan membekukan
Mengganjal dan melicinkan

Orang bicara bisa bisu
Orang mendengar bisa tuli
Orang alim bisa nafsu
Orang sakti bisa mati

Di negeri amplop
Amplop-amplop mengamplopi
apa saja dan siapa saja
Di negeri amplop
Amplop-amplop mengamplopi
apa saja dan siapa saja


Tuesday, 9 April 2013

Bekas Ketua Akaun Alcatel terima hukuman penjara dua tahun dan denda RM 125,000.00


Berita Oleh : Maizatul Akmal Yahaya

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Akaun Pelanggan Serantau Alcatel Network Systems (M) Sdn Bhd, menerima hukuman penjara dua tahun dan denda RM 125,000.00 selepas disabitkan bersalah memberi rasuah di Mahkamah Sesyen Jalan Duta hari ini.


Radziah Ani, 51 disabitkan pada kesalahan yang dilakukan dibawah Seksyen 10(b)(bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 apabila cuba menyogok  seorang pegawai Telekom Malaysia Berhad (TM) tujuh tahun lalu.


Hakim Mahkamah Sesyen Jenayah 8, Rozillah Salleh  memutuskan bahawa keterangan pihak pembelaan gagal manakala kenyataan tertuduh  adalah berbentuk penafian semata-mata, tidak konsisten dan tidak munasabah.

Beliau berpendapat hujah pihak pembelaan bahawa dua saksi  Roslan Aziz ( kakitangan Alcatel) dan Mohd Asri berkonspirasi adalah tidak berasas dan mahkamah berpendapat ianya tidak munasabah.

Katanya, dakwaan tersebut hanya dibangkitkan oleh tertuduh  di peringkat pembelaan dan tidak direkod dalam kenyataan tertuduh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan tertuduh juga tidak membuat aduan pada mana-mana pihak tentang perkara tersebut.

Mahkamah tidak menerima pembelaan  tertuduh bahawa beliau adalah mangsa dan turut  meletakkan kesalahan  kepada majikannya, syarikat telekomunikasi  Alcatel serta amalan pemberian rasuah yang diamalkan oleh syarikat tersebut adalah tidak relevan.

Malah menurut Rozillah, ianya menguatkan lagi pendakwaan bahawa amalan Alcatel membayar rasuah kepada pegawai TM.

Terdahulu pada 19 Julai 2011, tertuduh didakwa  tuduhan dibawah Seksyen 10(b)(bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 apabila 17 Februari 2006, cuba memberi suapan berbentuk cek kepada RM 25,000.00 kepada Penolong Pengurus Bahagian Perolehan TM  Mohd Asri Idris.


Ianya sebagai upah bagi pembekalan maklumat tender "Wideband Code Division Multiple Access (WDCMA) Mobile Communication System and The Provision of Works Phase II"


Radziah mengaku tidak bersalah atas tuduhan yang dikenakan keatasnya dan dibicarakan.

Pada 14 Ogos tahun lalu,di Mahkamah Sesyen yang sama, hakim memerintahkan tertuduh membela diri bagi kesalahan tersebut setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Timbalan Pendakwaraya Zulqarnain b. Hassan dalam hujahannya yang disampaikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Wan  Ahmad Nizam Wan Omar menyatakan bahawa kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah  serius, dimana tertuduh turut menikmati insentif dan bonus hasil kejayaan mendapatkan tender tersebut sedangkan Mohd Asri diberhentikan.

Katanya amalan pemberian rasuah oleh tertuduh memberi imej yang buruk kepada syarikat swasta terutama pada syarikat -syarikat antarabangsa seterusnya ia akan beri kesan kepada persepsi syarikat antarabangsa kepada Malaysia.

Tertuduh yang diwakili Penguambelanya Dato' Seri Shafee Abdullah memohon penangguhan hukuman penjara dan denda kepada mahkamah.

Hakim membenarkan penangguhan hukuman penjara dan bayaran denda sehingga Jumaat minggu hadapan manakala wang jaminan dinaikkan kepada RM 15,000.00 dengan dua penjamin.


Tertuduh kini  berkerja dengan sebuah syarikat telekomunikasi.


Seramai sembilan orang saksi pendakwaan dan sembilan saksi pembelaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan berlangsung.

Monday, 8 April 2013

Buruh Dipenjara 4 Bulan Akibat Merasuah Polis


SEREMBAN, 12 Mac 2013 – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini telah  membuat pertuduhan ke atas seorang lelaki yang bekerja sebagai buruh di Mahkamah Khas Rasuah Seremban, di bawah seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.

Tertuduh, Baba Abu, 42, telah mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan. Dalam pertuduhan, beliau didakwa  pada 4 Ogos 2010, jam lebih kurang 12.30 tengahari, di K.M 18, Jalan Seremban – Kuala Pilah, Ulu Bendul, dalam daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan didakwa merasuah  wang tunai RM 500.00 kepada seorang anggota polis, Kalathurai a/l Karuppiah, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah, sebagai dorongan kepada Kalathurai untuk tidak melakukan tangkapan ke atas tertuduh yang telah menggunakan dadah jenis ganja.

Hakim Datin Nursinah Adzmi menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM10,000.00 terhadap tertuduh. Bagaimanapun tertuduh yang gagal membayar denda, dipenjarakan selama empat (4) bulan.

Pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd Fairuz Johari manakala tertuduh tidak diwakili oleh peguam.

Bagi kesalahan di atas, tertuduh boleh dihukum di bawah seksyen 24 ASPRM 2009 iaitu penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada 5 kali ganda nilai suapan atau RM 10,000.00 mana-mana yang lebih tinggi.

Sunday, 7 April 2013

Bekas KP Imigresen Diperintah Bela Diri Kes Rasuah


PUTRAJAYA - Bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Md Don, diperintah untuk membela diri oleh Hakim Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini.

Hakim Yang Arif Datuk Sri Abu Samah Nordin ketika membacakan keputusan yang dibuat bersama Hakim Dato' Mohd Zawawi Salleh dan Dato' Azhar Mohammad memerintahkan tertuduh berbuat demikian dengan mengambil kira bahawa Hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf dengan membuat keputusan melepas dan membebaskan  tanpa mendengar pembelaan tertuduh serta anggapan Seksyen 42 Akta Pencegahan Rasuah 1997 terpakai di mana Responden perlu menyangkal anggapan tersebut.

Hakim juga bersetuju dengan fakta pihak pendakwaan bahawa responden telah menerima wang tersebut dan ianya dianggap sebagai wang rasuah.

Kes tersebut diperintahkan untuk sebutan semula di Mahkamah Sesyen pada 16 April ini.

Terdahulu pada 15 Oktober 2010, hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Rosbiahanin Ariffin memutuskan untuk melepas dan membebaskan tertuduh setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie keatas tertuduh.

Wahid, 58, didakwa menerima suapan RM 60,000 pada tahun 2008 daripada seorang ahli perniagaan, Datuk Low Chang Hian sebagai bayaran meluluskan permohonan bagi 4,337 pekerja Bangladesh memasuki Malaysia.

Beliau kemudian didakwa dibawah Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 apabila  menerima wang tersebut sebagai bayaran upahnya pada 10 Julai, jam 10.15 malam di rumahnya, Jalan Lembah Ledang, Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Sepanjang perbicaraan bermula 17 Ogos 2010, seramai 40 saksi telah dipanggil, termasuk bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar dan beberapa ejen pekerja asing.

Wahid, 59, telah bersara dari perkhidmatan awam sejak setahun lalu, diwakili oleh peguamnya V. Sithambaram.

Manakala pihak pendakwaan SPRM diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Hazmi Mohd Saad.

Suami Isteri Dihukum Penjara Dan Didenda RM 2.5 Juta.


Oleh : Zatul Yahaya & Nadia Aris

SHAH ALAM - Bekas  Timbalan Pengarah  Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Media (SKMM) dan isteri keduanya menerima hukuman penjara masing-masing lima dan empat tahun serta denda RM 2.5 juta selepas disabitkan bersalah menerima suapan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini hari ini.

Nor Mohamed Khan Mohamed Mastan,40 dihukum penjara lima tahun serta denda RM 1.25 juta manakala  isterinya Suraya Hani Ahmad Zaki, 33 seorang pengurus akaun di syarikat swasta menerima hukuman penjara empat tahun serta denda RM 1.25 juta.

Hakim M.Bakri Abd Majid membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Bakri dalam hujah penghakimannya berkata, hukuman tersebut dibuat setelah mengambil kira bahawa ia merupakan kesalahan pertama yang dilakukan oleh kedua tertuduh dan hujah peguambela bahawa tertuduh pertama masih perlu menangung keluarganya.

Bagaimanapun menurutnya, kedua tertuduh sepatutnya berfikir dahulu sebelum melakukan kesalahan tersebut kerana kesalahan rasuah adalah suatu perkara serius yang boleh meruntuhkan sesebuah institusi.

Katanya, sebagai kakitangan awam, tertuduh pertama sepatutnya memberikan perkhidmatan tanpa mengharapkan balasan.
"Hukuman penjara lima tahun buat tertuduh pertama ini adalah kerana beliau seorang penjawat awam tetapi bertindak sebagai perancang utama bagi kesalahan ini.

"Perbuatan ini bukan sahaja mencemarkan nama tertuduh tetapi juga nama perkhidmatan awam dan mahkamah berharap bahawa ini akan menjadi pengajaran buat tertuduh dan masyarakat," katanya.

Pasangan suami isteri tersebut terdahulu, pada 25 Februari 2013 telah diperintahkan oleh hakim untuk membela diri bagi dua dakwaan atas kesalahan   di bawah Akta SPRM dan pertuduhan pilihan, Seksyen 16(a)(A) dibaca bersama Seksyen 28(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan satu kesalahan Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

Kedua tertuduh didakwa bersubahat menerima suapan wang tunai RM 250,000.00 daripada Ketua Pegawai Operasi Syarikat Siaga Informatics Sdn Bhd pada 14 Mac 2012 kononnya sebagai upah setelah membantu syarikat tersebut memperoleh surat penganugerahan bagi suatu tender iaitu untuk mereka bentuk, melaksana, menguji dan pentauliahan makmal forensik digital di SKMM.

Noor Mohamed Khan didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Siaga Informatics di Suite 2-6, Level 6, Jalan USJ 9/5T, Subang Business Centre, Subang Jaya, kira-kira jam 10.25 pagi pada 14 Mac lalu.

Pihak Pendakwaan SPRM diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Wong Poi Yoke manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguambela , Nasir Aziz.

Rayuan Bekas Ceo Dan Setiausaha PUNB Ditolak, Hukuman Penjara Kekal


PUTRAJAYA -  Hakim Mahkamah Rayuan  memutuskan menolak rayuan dan mengekalkan  hukuman penjara serta sabitan yang ditetapkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi ke atas dua bekas pegawai Permodalan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) membabitkan pemalsuan Sijil bon bernilai USD5 billion (RM17 billion) kekal bermula hari ini.

Hakim, Dato' Azhar Mohammad membacakan keputusan tersebut kepada  bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PUNB, Ahmadi @ Ahmad Zukni Johari, 71, dan bekas Setiausaha PUNB, Mohamad Aminuddin Mohamed Zain, 54, selepas  rayuan kedua tertuduh ditolak.

Kedua-duanya  dituduh di bawah Seksyen 467 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama apabila dengan niat bersama melakukan pemalsuan ke atas suatu dokumen iaitu satu cagaran berharga,  Sijil Bon Perbadanan Usahawan Nasional Berhad bertarikh 13 Oktober 2000.

Perbuatan tersebut dilakukan pada 13 Oktober 2000 di Perbadanan Usahawan Nasional Berhad, Wisma UOA 11, No. 21, Jalan Pinang, di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur membabitkan bon  bernilai USD5,000,000,000 (billion).

Dalam hujahannya Azhar memaklumkan keputusan yang dibuat bersama Yang Arif Datuk Sri Abu Samah Nordin dan Dato' Mohd Zawawi Salleh itu turut mengambil kira keterangan yang telah dikemukakan pada 1 dan 13 Mac lalu.

Menurut beliau dalam konteks kes ini sama ada perayu punya keuntungan atau PUNB mengalami kerugian bukan elemen-elemen yang penting.

Katanya merujuk kepada hujah Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Dato' Abdul Razak Musa bahawa Hakim Mahkamah Sesyen telah terkhilaf pada pembelaan oleh perayu di mana niat atau mens rea perayu tidak dapat dilihat sesiapa, bagaimanapun ia dapat dilihat dalam kes ini.

"Dalam surat kepada Perdana Menteri, perayu pertama masih menyembunyikan penerbitan Sijil bon berkenaan.

"Sekiranya perayu jujur, dia sudah menyatakan penerbitan sijil tersebut dalam suratnya.

"Kami memutuskan Hakim Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan yang betul," katanya.

Terdahulu pada 5 Disember 2011, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Su Geok Yiam  menjatuhkan masing-masing hukuman penjara lima dan empat tahun bagi kesalahan tersebut.

Dalam penghakimannya, Hakim Geok Yiam berkata, Hakim Mahkamah Sesyen, S.M. Komathy Suppiah telah terkhilaf semasa memutuskan pembebasan tertuduh pada 28 Januari 2010.

Komathy dalam keputusannya membebaskan kedua-dua tertuduh berdasarkan surat yang dihantar oleh Ahmadi kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bertarikh 11 Disember 2000 menjelaskan tindakannya mengeluar bon tersebut.

Menurut Geok Yiam, wujud ketidak jujuran oleh tertuduh-tertuduh yang telah melakukan kesalahan serius meskipun pihak pembelaan berhujah, kedua-duanya tidak berniat serong serta tidak mengakibatkan kerugian yang besar terhadap PUNB.

Menurut beliau, tertuduh jelas bersalah apabila tidak mendapat kebenaran Lembaga Pengarah PUNB walaupun sebenarnya ia diperlukan untuk mengeluarkan bon.

Ahmadi dihukum penjara lima tahun manakala Mohamad Aminuddin pula penjara empat tahun.

Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman terhadap kedua-dua tertuduh.

Peguam Ahmadi, Sulaiman Abdullah, dalam hujahnya menyatakan kesalahan yang telah dilakukan tidak melibatkan kepentingan umum dimana tiada kehilangan yang berlaku.

Sepanjang 12 tahun tempoh perbicaraan pelbagai perkara telah berlaku kepada tertuduh termasuk kehilangan sumber kewangan dan penceraian.

Dato' Harpal Singh yang mewakili Aminuddin  pula turut menyatakan kepada mahkamah bahawa anak guamnya menganggur ketika ini dan masih mempunyai anak kecil.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM,  Dato' Razak dalam hujahannya mengesahkan kedua-dua tertuduh tiada rekod kesalahan lampau dan hanya itu kesalahan yang dilakukan.

Bagaimanapun menurut beliau nilai bon yang terlibat adalah dalam jumlah yang luar biasa dan kes sebegini bukan sahaja boleh memberi kesan kepada PUNB tetapi juga kepada pihak kerajaan.

Malah, beliau menegaskan, kes ini mampu dijadikan pengajaran kepada mana-mana orang yang cuba menggunakan kedudukan untuk kepentingan peribadi.

Saturday, 6 April 2013

Sarjan Polis Kekal Dipenjara 2 Tahun Denda RM10,000, Rayuan Diketepikan Mahkamah


PUTRAJAYA – Hakim Mahkamah Rayuan hari ni menolak rayuan seorang anggota polis berpangkat Sarjan dan mengekalkan hukuman penjara dua tahun serta denda RM10,000 sepertimana yang telah ditetapkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen.

Mohd Arip Ahmad yang bertugas di Bahagian Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur terdahulu telah disabitkan dengan kesalahan meminta suapan dibawah Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) dan dikenakan hukuman penjara dua serta denda RM10,000 oleh Hakim Mahkamah Sesyen.

Bagaimanapun pada 22 Mac 2012  hukuman terhadap tertuduh telah diringankan apabila Hakim Mahkamah Tinggi, Y.A. Su Geok Yiam mengenakan hukuman penjara 14 hari dan denda RM10,000 selepas mendengar keterangan tertuduh. 

Pada pertuduhan yang dikenakan keatasnya tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 5 Ogos 2008, ketika bertugas sebagai Sarjan Polis di Pejabat Bahagian Norkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur dimana telah secara rasuah meminta wang tunai RM500.00 daripada Syafiq Khairuddin Abdullah sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

Pihak pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia diwakili Timbalan Pendakwaraya SPRM Saiful Hazmi bin Mohd Saad manakala tertuduh diwakili  peguambela Mohd Yunus Shariff dan Dahlia.

Friday, 5 April 2013

Bersama Mencegah - Ikrar Integriti Korporat


Ikrar Integriti Korporat dalam memerangi rasuah merupakan inisiatif penting bagi meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia dan menarik lebih banyak pelaburan asing (FDI) ke negara ini. Sesebuah syarikat yang menandatangani Ikrar Integriti Korporat ini akan memastikan bahawa syarikat mereka tidak akan
terlibat dalam sebarang jenayah rasuah. Ikrar Integriti Korporat menggariskan prinsip-prinsip yang perlu diterima pakai oleh badan-badan korporat untuk menunjukkan komitmen mereka ke arah mewujudkan persekitaran perniagaan yang adil, telus dan bebas dari rasuah.

Terdapat 5 prinsip dalam Ikrar ini iaitu:

i. MEMPROMOSIKAN nilai-nilai ketelusan, integriti dan tadbir urus yang baik;

ii. MEMPERKUKUHKAN mekanisme kawalan dalaman dengan memasukkan elemen-elemen yang menyokong pencegahan rasuah;

iii. PEMATUHAN undang-undang serta peraturan-peraturan yang berkaitan untuk memerangi rasuah;

iv. MEMBANTERAS sebarang bentuk amalan rasuah; dan

v. MENYOKONG inisiatif pencegahan rasuah yang diusahakan oleh Kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ikrar Integriti Korporat ini telah dibangunkan secara bersama oleh Institut Integriti Malaysia (IIM), Transparency International Malaysia (TI-M) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Sehingga bulan Disember 2011, sebanyak 61 buah syarikat korporat telah menandatangani Ikrar Integriti Korporat ini dan ianya boleh dilayari melalui portal IIM dan SPRM.

Ketahui lanjut mengenai program ini. Layari http://www.cism.my

Thursday, 4 April 2013

Penguatkuasa Wanita MPJBT Di Penjara 1 Tahun Dan Denda RM10,000 Kerana Menerima Rasuah RM500


JOHOR BAHRU - Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini menjatuhkan hukuman 1 tahun penjara  dan denda RM10,000.00  atau 6 bulan penjara terhadap seorang Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran  Majlis Perbandaran  Johor Bahru Tengah setelah didapati bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.

Kalaiselvi a/p Kumarasamy 31 tahun, pada 5hb.Ogos 2011 antara jam 2.45 petang   telah memperoleh untuk dirinya sendiri suatu suapan  iaitu wang tunai RM500.00 daripada Lim Chai Lee, sebagai dorongan  supaya tidak diambil tindakan terhadap premis perniagaan, Seven Eight Reflexology And Therapy Skudai kerana tidak mematuhi dan melaksanakan syarat-syarat perlesenan yang ditetapkan di bawah Seksyen 107(2) Akta Kerajaan Tempatan 1976

Mahkamah membenarkan penanguhan pelaksanaan hukuman penjara manakala denda telah dibayar oleh tertuduh.

Penghakiman dibuat oleh Hakim Mahkamah Seksyen Jenayah Rasuah 5, Yang Arif Tuan Mohamad Haldar bin Abdul Aziz manakala  pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Johor Penguasa Kanan Mohd Faizal bin Sadri.  Tertuduh  diwakili oleh peguam T.Vijaya Sandran.

Bagi kesalahan diatas, tertuduh boleh dihukum dibawah seksyen 24 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 iaitu penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada 5 kali ganda nilai suapan atau RM10.000.00 mana-mana yang lebih tinggi.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Blok D6, Kompleks D
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
Peti Surat 6000, 62007 Putrajaya