Wednesday, 25 September 2013

Ops Diesel - SPRM


Isu kekurangan bekalan diesel di pasaran tempatan kerap dilaporkan media kebelakangan ini berikutan tindakan sesetengah pihak yang menyeleweng dan menyimpan bahan api itu secara haram.

Soal  ketirisan membabitkan penyelewengan diesel bersubsidi dan rasuah ini telah berada dalam radar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak tahun 2009 lagi.

Bagi mengekang ia dari berterusan  SPRM telah mula menjalankan operasi membabitkan siasatan dan risikan bagi menangani aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi. Operasi ini turut membabitkan agensi penguat kuasa yang berkenaan.

Modus Operandi
Kerajaan menyediakan subsidi diesel untuk kegunaan awam dan nelayan sahaja bagi pasaran tempatan.

Bagi kegunaan pengguna awam, harga di pasaran ialah RM1.80 seliter (selepas diberi subsidi) manakala bagi kegunaan nelayan tempatan, diesel dijual RM1.20 seliter.

Cawangan Perisikan Khas SPRM telah mengesan beberapa cara yang digunakan oleh pihak sindiket untuk mengutip minyak diesel dari stesen minyak tempatan untuk dijual secara haram kepada industri dan luar negara bagi mengaut keuntungan berlipat ganda.

Hasil risikan dan siasatan yang dilakukan menunjukkan terdapat beberapa cara yang digunakan sindiket ini bagi melancarkan proses perolehan minyak diesel, terutamanya memberi rasuah kepada pihak-pihak tertentu termasuk cubaan menyogok anggota penguat kuasa bagi melindungi aktiviti haram ini dari dikesan.

Selain menggunakan lori pengangkut bagi memindahkan minyak diesel, pantoon (barge) turut digunakan bagi aktiviti pemindahan minyak diesel di perairan negara.

Pemilik Stesen Minyak

Hasil siasatan SPRM mendapati penyelewengan diesel bersubsidi ini  didalangi oleh sindiket yang mempunyai kepentingan termasuk pemilik stesen minyak.


Kuota diesel bulanan akan dikeluarkan oleh KPDNKK secara pukal kepada syarikat minyak mengikut daerah dan negeri.


Malangnya ada antara pemilik stesen minyak yang mengemukakan laporan palsu bagi mendapat kuota tambahan. Pemilik stesen minyak ini juga bersekongkol dengan  pemandu lori tangki.


Pemandu lori tangki dibayar wang rasuah supaya membuat penghantaran dan pemindahan diesel ke tempat atau lori tangki yang lain. Bagi mengaburi syarikat minyak, pengesan GPS akan dimatikan oleh pemandu lori supaya laluan/routes yang digunakan tidak dikesan.


Persatuan Nelayan
Golongan nelayan juga merupakan antara yang beruntung menerima subsidi diesel daripada kerajaan.


Bagaimanapun terdapat juga pihak dalam Persatuan Nelayan yang bersubahat dengan sindiket ini di mana pesanan akan dibuat dan pihak pengangkut diarah untuk menghantar bekalan kepada pihak ketiga.


Penghantaran ini kemudiannya akan disahkan oleh individu berkenaan  yang dipercayai turut menerima habuan rasuah daripada sindiket tersebut.


Berdasarkan siasatan yang dilakukan terdapat juga pemandu tangki yang bertindak mencuri sejumlah diesel tanpa pengetahuan syarikat minyak dan pembeli. Modus operandinya adalah dengan memberhentikan lori tangki di kawasan tertentu dan diesel kemudiannya akan dipindahkan ke lori tangki atau skid tank yang lain.

Ketirisan Diesel dan Rasuah
Tahap ketirisan diesel bersubsidi ini kini berada pada tahap yang membimbangkan. Malah ia turut membabitkan amalan rasuah  yang menarik individu-individu tertentu dari syarikat minyak, pemilik stesen minyak, PNK dan pihak pengangkut untuk bersekongkol.

Sebagai contoh, dalam  satu operasi yang dijalan oleh SPRM iaitu Ops Nano’s, pasukan risikan SPRM mendapati sindiket penyelewengan diesel dan penjualan diesel bersubsidi nelayan secara haram yang berlaku secara berleluasa.

Sepanjang operasi ini dijalankan, seramai 19 orang pengusaha dan sindiket yang terlibat telah berjaya ditahan. Hasil daripada operasi ini, jumlah nilai sitaan ke atas diesel telah dilakukan sebanyak RM517,000.00 dan tumpuan dilakukan ke atas empat negeri iaitu Perlis, Kedah, Perak dan Pahang.

Sejak tahun 2009 hingga kini, terdapat 112  Kertas Siasatan yang telah dibuka dan seramai 138 orang telah ditangkap bagi membantu siasatan.

Pada 2009, sebanyak empat (4) KS telah dibuka seorang  peniaga  telah ditangkap dan dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 11(b) Akta Pencegahan Rasuah (APR) 1997.

Pada tahun 2010, sebanyak 36 KS telah dibuka dan 36 orang telah ditangkap bagi membantu siasatan. Mereka yang ditangkap ini terdiri daripada Pegawai Maritim, TLDM, orang awam dan swasta.

Enam (6)  pertuduhan telah dibuat di ke atas peniaga dan orang awam di bawah Seksyen 11 (b) APR  1997 dan Seksyen  17(b) SPRM 2009 membabitkan kesalahan memberi suapan.

Sepanjang tahun 2011, sebanyak 25 KS  telah dibuka berdasarkan aduan yang diterima membabitkan ketirisan diesel. Sebanyak 24 tangkapan telah dibuat membabitkan tujuh (7) pegawai kerajaan,  empat (4) orang awam dan 11 kakitangan swasta.

Tujuh (7) individu telah didakwa di atas kesalahan memberi suapan bagi menutup aktiviti penyelewengan diesel.

Antara didakwa ialah peniaga  yang memberi rasuah kepada pemandu tangki bagi memindahkan bahan bersubsidi itu ke lori minyak lain.

Pertuduhan turut dibuat ke atas penyelia Jeti yang menerima rasuah bersubahat dengan pihak sindiket bagi membuat pengesahan palsu penghantaran  diesel bersubsidi.

Manakala pada tahun 2012, sebanyak 31 KS telah dibuka berdasarkan aduan yang diterima, 14 KSmembabitkan aduan ke atas pegawai kerajaan, tujuh (7) KS membabitkan orang awam dan 10 KS membabitkan kaitangan swasta.

Daripada jumlah tersebut 49 tangkapan telah dibuat dan lapan (8) pertuduhan telah dibuat membabitkan kesalahan  memberi dan menerima rasuah serta penggunaan butir matan palsu  membabitkan tuntutan penghantaran minyak diesel kepada Kementerian.

Sehingga Jun tahun ini (2013), sebanyak 16 KS telah dibuka, sembilan (9) KS ke atas prang awam, lima (5) KS ke atas kakitangan swasta, dan satu (1) KS ke atas seorang pegawai kerajaan.

Sebanyak 28 tangkapan telah dibuat dan tiga(3) telah didakwa di mahkamah membabitkan kesalahan memberi suapan.

Nilai sitaan setakat ini membabitkan operasi yang dijalankan lebih RM2 juta manakala jumlah lucut hak sebanyak RM3 juta  dan jumlah denda telah dikenakan adalah sebanyak RM36,500.00.
Untuk makluman nilai sitaan dan jumlah lucut hak ini hanya pada tarikh operasi dilakukan dan ia tidak menggambarkan keseluruhan nilai ketirisan yang dianggarkan.
Dari jumlah  berkenaan sebanyak 29  telah dituduh di mahkamah.

Penguatkuasaan
Berikutan harga dan permintaan yang tinggi di pasaran luar, penyeludupan diesel bersubsidi  ini turut merentas sempadan negara. Jualan secara haram ini  rancak dilakukan dan menarik minat pemborong dari negara jiran seperti Thailand dan Filipina.

Di Thailand, harga diesel sebanyak RM3.25 per liter manakala di Filipina ianya sekitar RM3.18 per liter. Bagi setiap jualan secara haram ini, peniaga boleh memperoleh antara 50 hingga 60 sen seliter.

Aktiviti sindiket ini dipermudahkan dengan wujudnya individu yang tidak bertanggungjawab melindungi dan mengambil kesempatan mengumpul kekayaan dengan aktiviti ini untuk menjual minyak diesel bersubsidi tempatan ke pasaran luar.

Walaupun pasukan penguatkuasaan giat menjalankan operasi bersama SPRM, namun aktiviti ini masih berlaku kerana kesukaran membezakan diesel bersubsidi dengan yang biasa.

Proses mengesan diesel bersubsidi semakin sukar kerana tiada kaedah atau bahan kimia yang boleh digunakan oleh agensi penguat kuasa bagi mengesan dan membezakan minyak bersubsidi atau bukan.

Kerjasama Orang Ramai Mengekang ketirisan
Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdull mengesahkan bahawa SPRM turut menerima aduan mengenai diesel daripada orang ramai terutamanya apabila isu kekurangan bekalan bahan api itu dilaporkan kebelakangan ini.

Bagaimanapun menurutnya siasatan yang dilakukan oleh Suruhanjaya ini hanya tertumpu kepada isu rasuah sahaja.

 “Kami lihat dari segi rasuah sahaja dan soal ketirisan yang ada kaitan dengan rasuah ini sememangnya berada dalam radar SPRM.

“Tetapi bagi soal ketirisan menyebabkan berlakunya kekurangan ini biarlah pihak berkuasa yang berkenaan menyiasat,” katanya.

Beliau turut menyatakan terdapat dua faktor yang boleh menyebabkan ketirisan ini berlaku iaitu di mana kemungkinan berlakunya penyeludupan ke negara luar kerana harga di negara jiran lebih mahal dan dijual kepada pihak industri.

“Saya menyeru kepada orang ramai supaya datang melaporkan kepada SPRM sekiranya wujud unsur rasuah yang melindungi aktiviti haram ini,” katanya.

Tipu Pelaburan RM500K Ketua Eksekutif E-Pendidikan Genius Hadapi 6 Tuduhan


Oleh: Erfieza bin Mujeini

KUALA LUMPUR, 5 Ogos 2013 - Timbalan Pengerusi Tabung Kwbajikan dan Pendidikan Program E-Pendidikan Genius , Raja Azman Shah Raja Alang Petra hari ini berhadapan dengan enam tuduhan termasuk tiga tuduhan menipu dua pengarah dan seorang pemilik syarikat melibatkan pelaburan RM500,000 kononnya boleh menyertai projek pembelajaran atas talian.


Raja Azman Shah didakwa melakukan kesalahan itu antara 2006 dan 2008.


Beliau yang juga Ketua Eksekutif E-Pendidikan Genius turut berhadapan dengan dua tuduhan jenayah pecah amanah melibatkan RM310,000 dan satu tuduhan bersubahat dengan Hishamsol Othman, 43, iaitu Pengarah Urusan Tabung Kebajikan dan Pendidikan Program E-Pendidikan Genius,Hishamsol bin Othman dan Zuraimi Abd Rahim, 39, yang juga Koordinator syarikat yang sama, melibatkan sumbangan berjumlah RM200,000.


Raja Azman Shah mengaku tidak salah ke atas kesemua tuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Rosbiahanim Arifin di Mahkamah Sesyen di sini dan minta dibicarakan.


Berikut tuduhan dihadapi Raja Azman Shah:

* Menipu dan memperdayakan Pengarah Urusan Syarikat Bakam Suci Sdn. Bhd., Azlan Arshad bagi menjalankan kerja-kerja program E-Pendidikan Genius iaitu "Supply, Installation, Testing and Commissioning Services For IT Facilities and Accessories" untuk 400 sekolah di Perak sedangkan projek tersebut tidak dilaksanakan antara September dan 5 Oktober 2006.


Perbuatan tersebut turut mendorong Azlan menyerahkan sekeping cek Bumiputra Commerce bernilai RM150,000 kepada Tabung Kebajikan dan Pendidikan Program E-Pendidikan Genius.


* Menipu bagi membolehkan mereka melabur wang ke dalam Tabung Kebajikan dan Pendidikan sebanyak RM200,000 bagi kerja-kerja yang sama melibatkan 343 sekolah di Negeri Sembilan.


Pemilik Syarikat Zamrud Enterprise, Ng Suat Hong turut menyerahkan sekeping cek bank bertarikh 30 November 2007, berjumlah RM200,000. Kesalahan tersebut dilakukan antara bulan Oktober hingga November 2007.


* Menipu Ahmad Nazim Abu Bakar selaku Pengarah Syarikat Pink Style Marketing bagi melaksanakan program yang sama di 69 sekolah di Perlis dan mendorong mangsa menyerahkan sekeping cek bernilai RM150,000. Kesalahan dilakukan sekitar akhir bulan Disember 2007 hingga 30 Januari 2008.


* Menunaikan cek syarikat Bakam Suci Sdn. Bhd. yang telah dikreditkan ke dalam akaun Tabung Kebajikan E-Pendidikan Bank Bumiputra Commerce, di mana tertuduh mempunyai kapasiti menunaikan dua keping cek bagi kegunaan sendiri, bertarikh 9 Oktober 2006 dan 11 Oktober 2006 dengan masing-masing berjumlah RM100,000 dan RM30,000. Disember 2007.

 
* Didakwa pecah amanah melibatkan RM160,000 di mana tertuduh telah melakukan kesalahan menunaikan cek Zamrud Enterprise - menunaikan cek yang telah dikreditkan ke dalam akaun Bank Bumiputra Commerce Tabung Kebajikan dan Pendidikan dan menggunakan harta tersebut dengan curang bagi kegunaan sendiri. Kedua-dua cek telah ditunaikan pada 11 Disember 2007 dan 14 Disember 2007.


* Didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan, melakukan perbuatan bersubahat bersama-sama Hishamsol dan Zuraimi bagi memperdayakan Ng agar menyumbang RM200,000 ke dalam Tabung kebajikan dan Pendidikan bagi mendapat pengecualian cukai sedangkan mengetahui Zamrud Enterprise tidak layak ditawarkan pengecualian cukai.


Raja Azman Shah menghadapi kesalahan menipu dengan curang supaya harta diserahkan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan di mana boleh dipenjara tidak kurang satu tahun atau tidak lebih 10 tahun, dengan sebat dan boleh dikenakan denda di bawah Seksyen 511 kanun yang sama.


Bagi hukuman di bawah Seksyen 406 iaitu jenayah pecah amanah pula tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 10 tahun, dengan sebat dan boleh dikenakan denda sementara tuduhan bersubahat kerana menipu di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang dibacakan bersama Seksyen 417 kanun yang sama, boleh dihukum penjara sehingga lima, denda atau kedua-duanya sekali.


SPRM diwakili Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan ,Anthony Kevin Morais bersama Timbalan Pendakwa Raya Wong Poi Yoke dan Nadia Fauzi manakala tertuduh diwakili Bernard Lewis.


Hakim menetapkan RM60,000 untuk ke semua enam pertuduhan dengan seorang penjamin dan mengarahkan tertuduh menyerahkan passport antarabangsanya kepada mahkamah.


Kes ini akan disebut semula pada 12 September.


Pentadbiran berintegriti: SPRM alu-alukan pendirian kerajaan negeri


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyambut baik usaha-usaha yang diambil oleh pihak kerajaan termasuk kerajaan-kerajaan negeri bagi memerangi jenayah rasuah di negara ini.

Perkembangan kebelakangan ini menunjukkan sudah ada petanda positif di peringkat kerajaan negeri, yang memperkenalkan inisiatif masing-masing memerangi rasuah dan elemen-elemen tidak berintegriti dalam sistem pentadbiran.

Minggu lalu, kepimpinan kerajaan negeri Pulau Pinang mengumumkan bahawa kesemua 11 ahli Exco dan 19 Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat akan mengisytiharkan aset mereka.

Terbaru, Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir mengumumkan beliau tidak akan memberi projek perniagaan di Kedah kepada mana-mana ahli keluarganya.

SPRM percaya dasar-dasar seperti ini akan membuka laluan kepada usaha murni mewujudkan pentadbiran yang berintegriti dan bebas amalan yang tidak sihat. SPRM juga pasti orang ramai akan meletakkan persepsi positif ke atas kerajaan dan sistem pentadbirannya jika langkah ini diamal dan dikuatkuasakan secara efektik.

SPRM juga gembira kerana saranan dan syor yang pernah diketengahkan oleh SPRM dan panel dan jawatankuasa bebas, yang memantau perjalanan SPRM, sudah mula mendapat respons positif. SPRM berharap langkah ini akan diamalkan oleh kerajaan-kerajaan negeri yang lain.

Susulan perkembangan ini, SPRM juga berharap dasar tidak memberi projek kepada ahli keluarga akan dijadikan satu peraturan yang harus diikuti setiap kerajaan negeri dan pemimpin kerajaan.

Strategi menghapuskan amalan rasuah dan tidak berintegriti sama ada di kalangan pemimpin politik dan orang awam memerlukan sokongan semua pihak. Iltizam politik dan kesungguhan di kalangan ahli politik merupakan asas ke arah itu. SPRM berharap, di sebalik harapan pelbagai pihak ini, akan ada usaha lebih menyeluruh daripada semua pihak tanpa mengira ideologi politik.

Langkah-langkah berkesan yang diambil oleh kerajaan-kerajaan negeri sudah pasti akan membantu usaha SPRM memerangi rasuah dalam jangka panjang.

SPRM yang sedang melaksanakan program transformasi juga bersedia untuk membantu mana-mana pihak dalam merangka dan melaksanakan inisiatif baru bagi memerangi jenayah rasuah.


Tan Sri Abu Kassim Mohamed
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Putrajaya
15 Ogos 2013

Pengarah Dan Pengurus Syarikat Hadapi Tuduhan Penggubahan Wang Haram, CBT


Oleh: Erfieza Mujeini

KUALA LUMPUR, 26 Ogos 2013 - Pengarah dan Pengurus TKC Sdn. Bhd. berdepan dengan empat tuduhan penggubahan wang haram dan dua tuduhan jenayah pecah amanah (CBT) membabitkan wang berjumlah RM2.1 juta.


Selain itu, aktiviti penggubahan wang haram kedua-dua tertuduh juga melibatkan pembayaran deposit kereta BMW X1 yang berjumlah RM112,105.


Kedua-dua tertuduh juga terlibat dengan kesalahan CBT berjumlah RM750,000 melalui 12 keping cek United Overseas Bank (Malaysia) untuk kepentingan mereka.


Yik Choy Fong , 47, yang merupakan Pengurus Ying Mui Sdn. Bhd. dan Tong Khin Co. Sdn. Bhd didakwa menerima RM135,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti penggubahan wang haram melalui akaun syarikat Lexguard Enterprise di Malayan Banking Berhad, Cawangan Jalan Tun H.S Lee di sini.


Yik juga dituduh menerima wang melalui akaun milik beliau di United Overseas Bank (Malaysia) Bhd Cawangan Jalan Pudu, melibatkan RM614,995 dan telah menggunakan hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM112,105 daripada akaun milik tertuduh di United Overseas Bank (Malaysia) Bhd Cawangan Jalan Pudu melalui cek untuk membayar deposit sebuah kereta BMW X1.


Yik juga berdepan dengan tuduhan CBT melibatkan RM750,000 yang diperoleh menerusi 12 keping cek iaitu masing-masing RM60,000; RM52,500;  RM60,000; RM60,000; RM67,500; RM75,000; RM67,500; RM75,000; RM60,000; RM67,500; RM52,500; dan RM52,500.



1 tuduhan AMLATFA dan 1 tuduhan CBT terhadap Hoh

Hoh Kiang Po, 70, pula didakwa turut melakukan penggubahan wang haram iaitu menerima melalui akaun Choong Fatt Pawnshop Sdn di Malayan Banking Berhad, Cawangan Jalan Tun H.S Lee wang sebanyak RM500,000, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram dan tuduhan CBT atas kapasiti sebagai Pengarah Tong Khin Company Sdn. Bhd di mana beliau mempunyai penguasaan terhadap sesuatu harta tertentu iaitu dana dalam akaun Tong Khin Company Sdn. Bhd. melibatkan wang sebanyak RM750,000. Beliau didakwa telah melakukan kesalahan CBT berkaitan dengan harta tersebut melalui 12 keping cek berjumlah RM750,000.


Kesalahan tersebut dilakukan sekitar tahun 2011 dan 2012.

Bagi pertuduhan AMLATFA, kedua-dua tertuduh berdepan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 di mana jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi setiap kesalahan.


Bagi CBT pula, kesalahan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama jika sabit  kesalahan diseksa dengan penjara selama tempoh tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi dua puluh tahun dan dengan sebat, dan bolehlah juga dikenakan denda dan dibacakan bersama Seksyen 109 kanun yang sama.


Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Norizan Arifin memohon agar mahkamah mengenakan Yik wang jaminan RM400,000 manakala Hoh diikat jamin dengan RM200,000.


Gobind Singh Deo dalam pada itu memohon agar jumlah wang jaminan dikurangkan kepada RM20,000 untuk setiap pertuduhan.


Hakim Mohd Nasir Nordin memutuskan agar Yik diikat jamin RM100,000 untuk tiga pertuduhan AMLATFA dan RM50,000 bagi pertuduhan CBT dengan seorang penjamin dan passport diserahkan kepada mahkamah selesai beliau kembali semula dari luar negara pada 7 September 2013.


Hoh pula diikat jamin RM70,000 bagi pertuduhanAMLATFA dan RM70,000lagi bagi pertuduhan CBT.


Mahkamah menetapkan 30 September 2013 bagi sebutan semula kes.

 

DAKWAAN RASUAH CEMARI PIALA MALAYSIA


PUTRAJAYA - Berhubung laporan media yang mendakwa rasuah kembali mencemari persaingan Piala Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut memantau perkembangan tersebut dengan dekat, dan berharap mana-mana pihak yang ada maklumat wujudnya rasuah agar memberi kerjasama dengan melaporkan kepada SPRM untuk diambil tindakan sewajarnya.

SPRM akan menyiasat mana-mana kes yang ada unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

SPRM juga ingin memberi jaminan akan memberi perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 kepada mana-mana pihak yang memberi maklumat mengenai isu ini. Dan, sekiranya kes rasuah bola sepak ini dibawa ke mahkamah, SPRM juga akan memastikan saksi-saksi terbabit turut diberi perlindungan di bawah Akta Perlindungan Saksi 2009.

SPRM juga telah menjalin kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan mewujudkan Jawatankuasa Integriti bagi memastikan sukan bola sepak negara bebas gejala rasuah dan meningkatkan integriti. SPRM juga berharap persatuan-persatuan sukan yang lain akan mengambil langkah mewujudkan jawatankuasa integriti bagi memerangi rasuah. SPRM juga menyambut baik kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin hari ini yang memberi tempoh sebulan kepada semua persatuan bola sepak negeri untuk menubuhkan jawatankuasa integriti dalam usaha membanteras gejala rasuah dalam industri bola sepak negara.

Sejak 2009 hingga Julai 2013 SPRM telah menangkap 12 orang dan menuduh lima individu di mahkamah.

SPRM memandang serius gejala rasuah dalam bidang sukan. Justeru, kerjasama semua pihak amat penting bagi menangani habis-habisan masalah rasuah di arena bola sepak negara.


Datuk Mustafar Ali
Pengarah Siasatan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

Majlis Perasmian Kursus Asas Kadet Penolong Penguasa SPRM Gred P 29 Siri 14 Bil 2 Tahun 2013


KUALA LUMPUR, 1 September - Seramai 48 pegawai baru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berpangkat Penolong Penguasa Gred P29 telah hadir melaporkan diri di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) hari ini bagi memulakan sesi latihan asas sebagai pegawai Suruhanjaya itu.
 
 
Majlis Perasmian Kursus Asas Kadet, Siri 14 Bilangan 2 Tahun 2013 oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Kecemerlangan dan Professionalisme) SPRM, Dato' Haji Zakaria Jaafar turut dihadiri oleh ahli keluarga pegawai pelatih yang terdiri daripada 31pegawai lelaki dan 17 pegawai wanita.
 
 
Menurut Dato' Haji Zakaria, ini merupakan kursus asas ke 14 yang dikendalikan oleh pihak akademi bagi melatih pegawai baru Suruhanjaya ini supaya menepati kehendak dan mampu mencapai aspirasi agensi pencegahan rasuah ini.
 
 
Katanya kursus ini telah dirangka untuk memenuhi keperluan latihan semasa dalam melahirkan kadet yang patuh kepada peraturan, agama, negara dan organisasi selaras dengan aspirasi SPRM.
 
 
"Bermula tahun 2013, pihak SPRM telah menetapkan semua Kursus Asas Kadet SPRM adalah selama tempoh 12 bulan dan setelah selesai kursus maka semua kadet akan dilantik menjadi pegawai penyiasat mengikut penempatan masing-masing.
 
 
" Selain tumpuan kepada pembelajaran berkaitan Modul Penyiasatan, Perisikan dan Undang-Undang, isu-isu moral dan etika kadet turut diberi perhatian dan menjadi  elemen penting dalam membentuk  pegawai SPRM yang berperwatakan unggul di mata masyarakat," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian tersebut.
 
 
Sejak beroperasi sebagai pusat pembelajaran dan latihan untuk pegawai SPRM, akademi ini telah melatih seramai 890 pegawai dari pelbagai pangkat iaitu Penguasa, Penolong Penguasa, Penyiasat dan Pembantu Keselamatan.
 
 
 
Bagaimanapun  kursus asas ini merupakan kursus kedua yang dilaksanakan sepenuhnya di akademi ini, setelah pembinaan fasa ke-2 Akademi ini lengkap dan dengan kemudahan hostel pelatih siap tahun lalu.
 
 
 
Mulai tahun 2013, kursus asas pegawai baru Suruhanjaya ini ditetapkan selama setahun dan terbahagi kepada dua peringkat iaitu sesi pembelajaran selama lima bulan dan sesi pemantapan/penilaian selama tujuh bulan.
 
 
 
Turut hadir pada majlis perasmian tersebut ialah  Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Timbalan Pesuruhjaya Dato' Abdul Wahab Bin Abdul Aziz, Komandan Pusat Latihan Asas Zuhairie Abu Bakar dan Ketua-Ketua Pusat & Sekolah MACA serta pegawai-pegawai SPRM.

Eksekutif Dituduh Beri Keterangan Palsu


Oleh: Zatul Yahaya
SHAH ALAM - Seorang Pegawai Eksekutif sebuah syarikat subsidari kerajaan (GLC) mengaku tidak bersalah  atas tuduhan memberikan keterangan yang bercanggah dalam perbicaraan kes rasuah melibatkan pegawai imigresen  dua tahun lalu.

Mohammad Fazly Samsuri, 34,didakwa memberikan keterangan yang tidak sama di mahkamah sepertimana yang telah diberikan dalam rakaman percakapannya kepada dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam satu perbicaraan kes membabitkan adiknya.


Keterangan itu diberikan ketika perbicaraan terhadap  Nor Shahazlina Md Shahrizal,Mohammad Huzzail Ahmad,Md Shahrizal Che Dan juga adiknya, Mohammad Izuwanshah Samsuri.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu  pada 5 Oktober 2010 dan 24 November  2011 di Pejabat Suruhanjaya pencegahan rasuah Selangor di Shah Alam

Pendakwaan dibuat mengikut seksyen 27(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selamat Yahya menetapkan jumlah jaminan RM8,000 ke atas tertuduh.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lokman Kassim dan tertuduh diwakili peguamnya.

Sekiranya sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan  hukuman denda RM100,000  atau penjara 10 tahun atau kedua duanya sekali.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Blok D6, Kompleks D
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
Peti Surat 6000, 62007 Putrajaya