Monday, 21 October 2013

Kenyataan Media Berkenaan Isu Rasuah Dalam Pemilihan Jawatan Parti Politik


Merujuk kepada laporan media kebelakangan ini dan kenyataan Transparency International Malaysia (TI-M) yang dikeluarkan hari ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin menegaskan bahawa SPRM sama sekali tidak pernah membuat kenyataan mengatakan tidak menyiasat aduan-aduan berkaitan dengan politik wang, yang menjadi perhatian di sebalik suasana pemilihan Umno yang sedang berlangsung sekarang.

Pendirian SPRM ialah segala tohmahan berkaitan isu pemilihan wajar disalurkan kepada Lembaga Disiplin UMNO terlebih dahulu. Sekiranya Lembaga Disiplin mendapati tohmahan ini mempunyai bukti-bukti berlakunya perlakuan rasuah, maka perkara ini boleh dirujuk kepada SPRM untuk tindakan mengikut undang-undang.

SPRM ingin menegaskan bahawa perkara ini tidak tertakluk kepada pemilihan UMNO semata-mata tetapi juga turut merangkumi pemilihan parti-parti politik lain di Malaysia.

SPRM sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan bahawa SPRM menyerahkan kepada Lembaga Disiplin UMNO untuk menyemak dan menapis aduan-aduan melibatkan politik wang terlebih dahulu. Justeru, sekiranya ada bukti wujudnya unsur rasuah, jawatankuasa disiplin boleh merujuk kepada SPRM untuk diambil tindakan yang sewajarnya mengikut skop Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009).

Berdasarkan pengalaman lalu maklumat yang dirujuk kepada SPRM adalah lebih kepada perlanggaran Kod Etika parti. Oleh itu amatlah wajar perkara ini diteliti oleh  jawatankuasa disiplin parti masing-masing.

SPRM hanya akan bertindak sekiranya maklumat ini mengandungi elemen rasuah seperti diperuntukkan di bawah Akta ASPRM 2009.

Di sini SPRM juga ingin menegaskan bahawa menjadi tanggungjawab SPRM untuk menyiasat aduan-aduan berunsur rasuah daripada mana-mana parti politik mengikut peruntukan yang termaktub dalam Akta SPRM 2009.


Dato’ Mohd Shukri Abdull
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi)
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Putrajaya
18 Oktober 2013

No comments:

Post a Comment

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Blok D6, Kompleks D
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
Peti Surat 6000, 62007 Putrajaya