Sunday, 6 October 2013

Usaha Gempur Sindiket Pukat Tunda


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak menggempur sindiket yang dipercayai aktif memberi rasuah bagi memudahkan aktiviti mereka menarik pukat tunda di perairan negara sejak lebih setahun lalu.

Rungutan dari golongan nelayan tempatan telah mula disuarakan sejak Januari tahun lalu apabila terdapat aktiviti nelayan asing yang berleluasa di sekitar perairan Laut China Selatan.

Rentetan daripada maklumat yang diterima,  SPRM telah mengambil tindakan proaktif bagi membantu agensi penguatkuasaan yang berkaitan membendung aktiviti haram ini.

Sejak Mac 2013 SPRM dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah menjalankan operasi untuk mengesan kewujudan unsur rasuah dalam aktiviti penggunaan pukat tunda secara haram ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Mohd Shukri Abdull berkata isu rasuah dalam penggunaan pukat tunda secara haram ini telah berada di dalam radar SPRM sejak ia mula dilaporkan tahun lalu.

Katanya sejak Mac lalu SPRM telah menjalankan siasatan yang teliti dan disyaki penggunaan pukat tunda ini turut membabitkan usaha merasuah pegawai penguatkuasa.


"Hasil maklumat yang diperolehi mendapati sindiket ini didalangi oleh tiga kumpulan utama yang dianggotai oleh warga tempatan dan asing (Vietnam).

"Sehingga hari ini beberapa siri transaksi telah berjaya dikesan dan setakat ini sebanyak RM 1.2 juta wang tunai untuk tujuan merasuah telahpun dirampas.

"Manakala sebanyak empat buah bot pukat ganding milik warga Vietnam yang dianggarkan bernilai hampir RM 5 juta juga telah di sita," katanya.

Menurutnya, isu penggunaan pukat tunda secara haram ini dilihat sebagai serius dan ianya bukan sahaja mengancam ekosistem serta pendapatan nelayan malahan ia boleh mengancam keselamatan negara.


Beliau  turut memaklumkan dalam operasi yang dijalankan oleh SPRM sejak semalam, sebanyak lapan individu telah ditangkap bagi membantu siasatan.

Katanya kesemua yang ditangkap disiasat di bawah Seksyen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 membabitkan kesalahan menerima suapan.

"Dua tangkapan dilakukan di Kuala Lumpur, dua di Kota Tinggi,Johor, dua di Kuantan, Pahang dan dua tangkapan dilakukan di Kota Bahru, Kelantan.

"Kesemua yang ditahan adalah lelaki dan berusia dalam lingkungan 35 hingga 60 tahun dan kesemuanya direman antara empat ke enam hari,"katanya.


Dua kesalahan utama yang dikesan adalah membabitkan bayaran rasuah untuk melepaskan bot yang ditahan dan bayaran rasuah dari nelayan asing supaya mereka tidak dikenakan tindakan undang-undang.


Shukri pada masa sama turut menyatakan penghargaan kepada APMM atas kerjasama dalam membantu SPRM menyempurnakan operasi ini dan berharap agar agensi penguatkuasaan lain juga mencontohi APMM dalam menyalurkan info kepada SPRM.


TAMAT.

No comments:

Post a Comment

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Blok D6, Kompleks D
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
Peti Surat 6000, 62007 Putrajaya