Monday, 21 October 2013

Bekas Penolong Pengarah Ukur Bahan JKR Terima Suapan Bagi Pembayaran Ansuran Kereta Isteri


KUALA LUMPUR, 7 Oktober 2013 - Bekas Penolong Pengarah Ukur Bahan Jabatan Kerja Raya Negeri Sarawak, Ismail bin Ahim hari ini dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah (Rasuah) 8, Kuala Lumpur di atas 7 pertuduhan seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana menerima suapan RM8264.00 bagi pembayaran ansuran kereta milik isteri beliau.

Ismail, 59 dituduh melakukan kesalahan tersebut sekitar bulan April, Mei, Julai, September, Oktober , November 2007 dan bulan Januari 2008 dalam bentuk cek RHB Bank Berhad Syarikat Inai Kiara Sdn. Bhd. berjumlah RM1,078 untuk pembayaran ansuran kereta milik isteri beliau, Norinah binti Abdul Ghani nombor pendaftaran WPW 4668 bertempat di Ambank (M) Berhad, Jalan Jejaka 2, Taman Maluri, Kuala Lumpur yang diketahui ada kena mengena dalam urusan rasmi Ismail sebagai Penolong Pengarah Ukur Bahan, Jabatan Kerja Raya Sarawak.

Pertuduhan Seksyen 165 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh boleh sampai 2 tahun, atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Ismail mengaku tidak bersalah atas setiap 7 pertuduhan yang dibacakan kepadanya oleh Jurubahasa Mahkamah  dan mohon dibicarakan.

Timbalan Pendakwa Raya Kevin Morais yang mewakili SPRM dalam mengemukakan hujah memohon mahkamah tidak menawarkan jaminan kepada Ismail atas alasan penggunanan Seksyen 388 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) yang mempunyai alasan untuk tidak boleh dijamin.

Fahri Azzat dan P.G Cyril yang mewakili Ismail memohon mahkamah membenarkan anak guam mereka diikat jamin dengan seorang penjamin dengan mengemukakan 5 alasan mengapa mahkamah perlu mempertimbangkan jaminan.

Antara isu yang dikemukakan oleh Peguam Bela termasuk sejak disiasat, anak guam mereka telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak SPRM dengan hadir dalam semua sesi temuduga yang dijalankan. Ismail juga telah berkhidmat selama 35 tahun di dalam perkhidmatan kerajaan dan mempunyai rekod perkhidmatan yang cemerlang. 

Beliau juga turut di jamin sebanyak RM5,000 berhubung satu aduan kes lain. Kali terakhir Ismail ke luar Negara adalah pada tahun 2009 dan beliau mempunyai masalah diabetes, tekanan darah tinggi dan kolesterol.

Kevin Morais dalam hujahan balas beliau menegaskan tiada sebarang laporan kesihatan yang dikemukakan kepada SPRM dan memohon jaminan tidak perlu ditawarkan kepada Ismail.

Hakim Mohd Nasir Nordin dalam pada itu membuat keputusan bahawa Ismail ditawarkan jaminan RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 November 2013 bagi sebutan semula kes.

Jika sabit kesalahan, Seksyen 165 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh boleh sampai 2 tahun, atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali.

No comments:

Post a Comment

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Blok D6, Kompleks D
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
Peti Surat 6000, 62007 Putrajaya