Wednesday, 25 September 2013

Majlis Perasmian Kursus Asas Kadet Penolong Penguasa SPRM Gred P 29 Siri 14 Bil 2 Tahun 2013


KUALA LUMPUR, 1 September - Seramai 48 pegawai baru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berpangkat Penolong Penguasa Gred P29 telah hadir melaporkan diri di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) hari ini bagi memulakan sesi latihan asas sebagai pegawai Suruhanjaya itu.
 
 
Majlis Perasmian Kursus Asas Kadet, Siri 14 Bilangan 2 Tahun 2013 oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Kecemerlangan dan Professionalisme) SPRM, Dato' Haji Zakaria Jaafar turut dihadiri oleh ahli keluarga pegawai pelatih yang terdiri daripada 31pegawai lelaki dan 17 pegawai wanita.
 
 
Menurut Dato' Haji Zakaria, ini merupakan kursus asas ke 14 yang dikendalikan oleh pihak akademi bagi melatih pegawai baru Suruhanjaya ini supaya menepati kehendak dan mampu mencapai aspirasi agensi pencegahan rasuah ini.
 
 
Katanya kursus ini telah dirangka untuk memenuhi keperluan latihan semasa dalam melahirkan kadet yang patuh kepada peraturan, agama, negara dan organisasi selaras dengan aspirasi SPRM.
 
 
"Bermula tahun 2013, pihak SPRM telah menetapkan semua Kursus Asas Kadet SPRM adalah selama tempoh 12 bulan dan setelah selesai kursus maka semua kadet akan dilantik menjadi pegawai penyiasat mengikut penempatan masing-masing.
 
 
" Selain tumpuan kepada pembelajaran berkaitan Modul Penyiasatan, Perisikan dan Undang-Undang, isu-isu moral dan etika kadet turut diberi perhatian dan menjadi  elemen penting dalam membentuk  pegawai SPRM yang berperwatakan unggul di mata masyarakat," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian tersebut.
 
 
Sejak beroperasi sebagai pusat pembelajaran dan latihan untuk pegawai SPRM, akademi ini telah melatih seramai 890 pegawai dari pelbagai pangkat iaitu Penguasa, Penolong Penguasa, Penyiasat dan Pembantu Keselamatan.
 
 
 
Bagaimanapun  kursus asas ini merupakan kursus kedua yang dilaksanakan sepenuhnya di akademi ini, setelah pembinaan fasa ke-2 Akademi ini lengkap dan dengan kemudahan hostel pelatih siap tahun lalu.
 
 
 
Mulai tahun 2013, kursus asas pegawai baru Suruhanjaya ini ditetapkan selama setahun dan terbahagi kepada dua peringkat iaitu sesi pembelajaran selama lima bulan dan sesi pemantapan/penilaian selama tujuh bulan.
 
 
 
Turut hadir pada majlis perasmian tersebut ialah  Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Timbalan Pesuruhjaya Dato' Abdul Wahab Bin Abdul Aziz, Komandan Pusat Latihan Asas Zuhairie Abu Bakar dan Ketua-Ketua Pusat & Sekolah MACA serta pegawai-pegawai SPRM.

No comments:

Post a Comment

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Blok D6, Kompleks D
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
Peti Surat 6000, 62007 Putrajaya