KUALA LUMPUR, 11 Jul - Seorang pelakon wanita yang pernah mewarnai dunia seni tanah air era 80-an dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah 14 di sini hari ini atas enam kesalahan membabitkan sindiket penipuan jual beli tanah.
Puteri Salbiah Megat Razali, 49, dituduh melakukan empat kesalahan di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan dan dua kesalahan di bawah Peraturan (25)(1)(j) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).
Bagi kesalahan di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan, tertuduh didapati menipu Ng Miow Hia dengan jalan samaran apabila menyatakan orang yang bersamanya ketika itu sebagai tuan punya tanah di Lot 1230, 1231, 1232 dan 1233 Mukim Rim, Jasin Melaka.
Tertuduh didakwa menyatakan Maajis Senan sebagai Ahmad SK Duis manakala Yang Azizah Mohamed Yaacob sebagai Sipah Dues @ Sipak Duez.
Empat kesalahan tersebut dilakukan di Restoran Burger King, KLCC, Kuala Lumpur pada dua tarikh berlainan iaitu 1 April 2010 dan 23 Jun 2010.
Bagi kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara, tertuduh didakwa telah memalsukan kad pengenalan atas nama dua pemilik tanah sekitar Januari 2010 hingga April 2010.
Kad pengenalan Ahmad SK Duis (pemilik tanah) telah dipalsukan sebagai pengenalan bagi Maajis Senan manakala kad pengenalan Sipah Duis @ Sipak Duez sebagai pengenalan bagi Yang Azizah Mohamed Yaccob.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Kevin Morais mencadangkan wang jaminan RM5,000 bagi setiap kesalahan.
Menurutnya jumlah tersebut dicadangkan kerana tertuduh tidak mematuhi syarat jaminan SPRM.
Tertuduh juga telah ke Brunei dan tangkapan dilakukakn dengan kerjasama pihak berkuasa di sana sebelum dibawa dan direman di Miri, Sarawak pada 9 Julai lalu.
Peguam bela tertuduh, Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan merayu supaya jumlah jaminan dikurangkan kepada RM10,000 bagi kesemua pertuduhan.
Ia kerana penjamin iaitu kakak kandung tertuduh hanya berniaga secara kecil-kecilan dan tujuan tertuduh ke Brunei adalah untuk menjaga ayahnya yang sedang sakit.
Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain menetapkan jumlah jaminan RM24,000 bagi semua kesalahan.
Sumber dari: http://www.sprm.gov.my/pelakon-didakwa.html
No comments:
Post a Comment