Oleh : Zatul Yahaya
SHAH ALAM, 9 September - Seorang doktor berpangkat Kolonel yang berkhidmat di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah hari ini kerana melakukan dua kesalahan rasuah membabitkan wang sejumlah RM 700,000.
Kolonel Dr. Kunaseegaran a/l Ragavabaidu, 50, Ketua Makmal Patologi HATTM, didakwa meminta daripada pemilik sebuah syarikat swasta dan menerima suapan tersebut sebagai upah bagi mencadangkan nama sebuah syarikat swasta untuk menjadi pembekal ubat-ubatan dan perkakas pakai habis perubatan bagi hospital tersebut.
Tertuduh yang telah berada dlm tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak 4 September lalu didakwa melakukan dua kesalahan dibawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.
Pertuduhan pertama, Kunaseegaran didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(A) apabila secara rasuah meminta wang tunai sebanyak RM 700,000 daripada Abdul Razar bin Abdullah melalui pesanan ringkas (sms) daripada telefon bimbit miliknya.
Suapan tersebut kononnya sebagai suatu upah kerana telah mencadangkan Syarikat RAZ Medical Supplies Sdn Bhd, B & S Enterprise dan Caremed Global Sdn Bhd untuk menjadi pembekal ubat-ubatan dan perkakas pakai habis perubatan bagi tahun 2013 untuk HATTM.
Tertuduh didakwa berbuat demikian pada pada 29 Ogos 2013 lebih kurang jam 11.58 pagi.
Pertuduhan kedua dibawah Seksyen 17(a) ASPRM 2009 membabitkan kesalahan menyetuju terima wang suapan daripada Abdul Razar bin Abdullah, pemilik Syarikat RAZ Medical Supplies Sdn. Bhd sebagai suatu upah kerana telah mencadangkan Syarikat RAZ Medical Supplies Sdn Bhd, B & S Enterprise dan Caremed Global Sdn Bhd untuk menjadi pembekal ubat-ubatan dan perkakas pakai habis perubatan bagi tahun 2013 untuk HATTM.
Tertuduh didakwa berbuat demikian pada 3 September 2013 lebih kurang jam 5.15 petang, bertempat di hadapan Empire Gallery Subang Jaya, dalam daerah Petaling, dalam Negeri Selangor.
Pendakwaan yang diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Azlin Sabtu, menawarkan wang jaminan sebanyak RM 500,000 untuk kedua-dua pertuduhan dan dokumen perjalanan tertuduh turut diserahkan kepada mahkamah.
Pada rayuannya, tertuduh yang diwakili peguambela Geethan Ram Vincent memohon supaya jumlah jaminan yang munasabah memandangkan tertuduh merupakan seorang penjawat awam yang telah berkhidmat selama 23 tahun.
Tertuduh masih berkhidmat sebagai Ketua Makmal Patalogi di Hospital berkenaan.
Hakim Mahkamah Sesyen Jenayah (3), Slamat Yahya menetapkan wang jaminan sebanyak RM 100,000 dengan seorang penjamin dan dokumen perjalanan tertuduh diserahkan kepada mahkamah serta 8 Oktober sebagai tarikh sebutan semula.
Sekiranya sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun, dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.
Sumber dari: http://www.sprm.gov.my/doktor-tentera-rasuah.html
No comments:
Post a Comment