Wednesday, 25 September 2013

Doktor Didakwa Minta Dan Terima Suapan


Oleh : Zatul Yahaya
SHAH ALAM, 9 September - Seorang doktor berpangkat Kolonel  yang berkhidmat di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah hari ini kerana melakukan dua kesalahan rasuah membabitkan wang sejumlah RM 700,000.


Kolonel Dr. Kunaseegaran a/l Ragavabaidu, 50, Ketua Makmal Patologi HATTM, didakwa   meminta daripada pemilik sebuah syarikat swasta dan menerima suapan tersebut sebagai upah bagi mencadangkan nama sebuah syarikat swasta untuk  menjadi pembekal ubat-ubatan dan perkakas pakai habis perubatan bagi hospital tersebut. 

Tertuduh yang telah berada dlm tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak 4 September lalu  didakwa melakukan dua kesalahan dibawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.

Pertuduhan pertama, Kunaseegaran didakwa melakukan kesalahan di bawah  Seksyen 16(a)(A) apabila secara rasuah meminta wang tunai sebanyak RM 700,000 daripada Abdul Razar bin Abdullah  melalui pesanan ringkas (sms) daripada telefon bimbit miliknya.

Suapan tersebut kononnya sebagai suatu upah kerana telah mencadangkan Syarikat RAZ Medical Supplies Sdn Bhd, B & S Enterprise dan Caremed Global Sdn Bhd untuk menjadi pembekal ubat-ubatan dan perkakas pakai habis perubatan bagi tahun 2013 untuk HATTM.

Tertuduh didakwa berbuat demikian pada pada 29 Ogos 2013 lebih kurang jam 11.58 pagi.

Pertuduhan kedua dibawah Seksyen 17(a) ASPRM 2009 membabitkan kesalahan menyetuju terima wang suapan daripada Abdul Razar bin Abdullah, pemilik Syarikat RAZ Medical Supplies Sdn. Bhd sebagai suatu upah kerana telah mencadangkan Syarikat RAZ Medical Supplies Sdn Bhd, B & S Enterprise dan Caremed Global Sdn Bhd untuk menjadi pembekal ubat-ubatan dan perkakas pakai habis perubatan bagi tahun 2013 untuk HATTM.


Tertuduh didakwa berbuat demikian pada 3 September 2013 lebih kurang jam 5.15 petang, bertempat di hadapan Empire Gallery Subang Jaya, dalam daerah Petaling, dalam Negeri Selangor.

Pendakwaan yang diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Azlin Sabtu, menawarkan wang jaminan sebanyak RM 500,000 untuk kedua-dua pertuduhan dan dokumen perjalanan tertuduh turut diserahkan kepada mahkamah.

Pada rayuannya, tertuduh yang diwakili peguambela Geethan Ram Vincent memohon supaya jumlah jaminan yang munasabah memandangkan tertuduh merupakan seorang penjawat awam yang telah berkhidmat selama 23 tahun.

Tertuduh masih berkhidmat sebagai Ketua Makmal Patalogi di Hospital berkenaan.

Hakim Mahkamah Sesyen Jenayah (3), Slamat Yahya menetapkan wang jaminan sebanyak RM 100,000 dengan seorang penjamin dan dokumen perjalanan tertuduh diserahkan kepada mahkamah serta 8 Oktober sebagai tarikh sebutan semula.


Sekiranya sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun, dan didenda tidak kurang daripada lima  kali ganda jumlah atau nilai suapan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Terima Darjah Seri Mahkota Brunei

15 SEPTEMBER 2013

Sempena Hari Keputeraan Yang Ke-67, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed dianugerahkan Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei Yang Amat Mulia Darjah Kedua (D.P.M.B) yang membawa gelaran Dato Paduka.

Majlis pengurniaan berlangsung pada hari ini, 15 September 2013 di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan.

Tan Sri Abu Kassim menyifatkan pengurniaan D.P.M.B. sebagai satu penghargaan yang amat tinggi kepada beliau dan juga SPRM, malah kepada rakyat dan kerajaan Malaysia pada keseluruhannya.

"Saya yakin pengurniaan Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei Yang Amat Mulia Darjah Kedua akan mengeratkan hubungan dan kerjasama yang sedia terjalin antara SPRM dan Biro Mencegah Rasuah (BMR) Brunei Darussalam sejak hampir sedekad lalu, dan juga hubungan kedua-dua Malaysia dan Brunei Darussalam," kata Tan Sri Abu Kassim.

Kedua-dua SPRM dan BMR telah mengadakan mesyuarat tahunan kerjasama dua hala yang terbaharu di Bandar Seri Begawan pada 9 dan 10 September 2013. Ia merupakan satu platform pertukaran maklumat dan percambahan idea dan pengalaman, kata Tan Sri Abu Kassim lagi.

Rangkaian kerjasama yang telah bermula sembilan tahun lalu telah digunakan dengan sepenuhnya bagi membincangkan perkongsian kaedah penyiasatan dan transformasi positif ke arah memantapkan keupayaan agensi-agensi pencegahan rasuah terutama sekali yang melibatkan jenayah merentas sempadan.

Tan Sri Abu Kassim juga berkata, kerjasama SPRM dan BMR juga telah mendapat perhatian dalam laporan penilaian Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), di mana kejayaan kerjasama ini dilaporkan sebagai antara amalan-amalan baik yang dipraktikkan oleh SPRM dalam penguatkuasaan undang-undang memerangi rasuah.

Transformasi Infrastruktur Kurangkan Tohmahan Pegawai SPRM


Oleh : Zatul Yahaya

KUANTAN, 24 September - Transformasi infrastruktur membabitkan pembinaan Kompleks Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tujuh negeri membantu mengurangkan kadar tohmahan terhadap pegawai Suruhanjaya ini.


Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata pada tahun 2009, Suruhanjaya ini menerima sebanyak 20 aduan berbentuk tohmahan mengenai salah laku membabitkan pegawainya.



Menurutnya jumlah tersebut berkurang setelah transformasi dibuat bermula 2009 membabitkan pembinaan kompleks pejabat sendiri bagi kegunaan SPRM dimana bagi tempoh 2012 hingga 2013 hanya satu aduan yang diterima membabitkan pegawai.


" Kita telah berusaha mewujudkan kompleks pejabat bagi kegunaan Suruhanjaya ini sendiri. Ia bagi memberi persepsi kepada masyarakat bahawa kita bebas.


"Sebanyak tujuh kompleks pejabat telah dibina iaitu di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Johor, Perak,Kelantan, Melaka dan Pahang yang turut mempunyai kelengkapan penting dan teras bagi memastikan SPRM dapat menjalankan tugas dengan berkesan.


"Ini termasuk melengkapkan kompleks pejabat dengan bilik temuduga bervideo (VIR) dan kamera litar tertutup (CCTV) dimana ia telah membantu mengurangkan tohmahan terhadap pegawai Suruhanjaya," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Kompleks Pejabat SPRM Pahang.


Abu Kassim berkata, perkembangan berbentuk infrastruktur ini selaras dengan transformasi yang sedang dilaksanakan bagi mencapai kehendak masyarakat serta membolehkan tugas dijalankan tanpa ragu dan gusar.


SPRM yang ketika itu dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR) memulakan operasinya di negeri Pahang pada 1 Oktober 1967 dan Kompleks Pejabat yang baru ini mula digunakan pada 1 Januari 2012.


Pada masa sama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdull ketika ditanya media tempatan sempat memaklumkan beberapa perkembangan siasatan SPRM.


Menurutnya bagi kes membabitkan rasuah bola sepak pasukan negeri Perak, pihaknya baru menerima maklumat berkenaan perkara tersebut semalam.


Manakala isu membabitkan bekas Setiausaha Menteri dalam kes 1Azam, siasatan sedang dijalankan dan pihaknya tidak pernah menyatakan status kereta yang dikatakan milik individu yang sedang disiasat tersebut, sepertimana yang dilaporkan media.


"Soal pembabitan SPRM sebagai pemantau dalam pemilihan Majlis Tertinggi UMNO seharusnya ditentukan oleh Lembaga Displin parti politik itu sendiri.


"Perkara yang sama juga perlu di praktikkan oleh semua parti politik lain dalam membuat pemantauan terhadap isu dalaman membabitkan parti politik mereka," katanya ketika di temui media pada majlis tersebut.


Turut hadir pada majlis tersebut adalah, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Professionalisme), Dato' Zakaria Jaffar, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Dato' Sutinah Sutan, Pengarah-pengarah SPRM Negeri dan Bahagian dan Ketua-ketua agensi kerajaan tempatan.

SPRM Sebagai Badan Bebas di dalam mempertingkat fungsi serta tanggungjawab Memerangi Rasuah, Salah Guna Kuasa dan Penyelewengan

Oleh: Erfieza Mujeini & Nurirdzuana Ismail


Kuala Lumpur,21 September 2013- SPRM merupakan badan bebas bagi didalam mempertingkatkan fungsi serta tanggungjawab memerangi rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan, tegas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Y.Bhg Dato’ Hajjah Sutinah binti Sutan dalam ucaptama beliau pada Majlis Penerangan SPRM bersama Asian Finance Bank Berhad di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia(MACA) .

Konsep bebas, telus dan professional menjadi tonggak utama SPRM didalam menjalankan amanah dan tanggungjawabnya. Adalah menjadi tanggungjawab dari sudut perundangan berdasarkan peruntukan seksyen 7, Akta Suruhanjaya Pencegahan rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan SPRM menjalankan fungsi dan tanggungjawab tanpa rasa takut atau gentar atau menyebelahi mana-mana pihak.

Tegas beliau lagi, ianya pendekatan secara serampang tiga mata dalam memperkasakan fungsi penguatkuasaan, pendidikan masyarakat dan pencegahan kerana apabila SPRM menerima sahaja maklumat dari masyarakat, SPRM akan menyiasat secara komprehensif tanpa memilih bulu, ataupun ikan besar atau ikan kecil.

SPRM turut melaksanakan pendekatan komprehensif dengan mendekati sektor swasta, badan-badan bukan kerajaan, pelajar-pelajar, sektor-sektor awam, media dan golongan professional bagi menerangkan fungsi serta tanggungjawab SPRM dengan lebih berkesan lagi.

Beliau member penekanan terhadap strategi-strategi yang telah digariskan bagi memerangi Rasuah Besar (Grand Corruption), Perolehan, Integriti Agensi Penguatkuasaan, Sektor Perniagaan dan pendidikan kepada golongan Pelajar dan Belia.

Beliau berkata lagi bahawa pada 26 April 2010,  Kempen Perangi Pemberi Rasuah telah dilancarkan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa agensi kerajaan terutamnya agensi penguatkuasa undang-undang berganding bahu bersama SPRM memerangi pemberi rasuah.

Inisiatif yang dilaksanakan bagi menunjukkan jalinan kerjasama strategik SPRM dan sektor swasta adalah melalui Ikrar Integriti Korporat (CIP) yang merupakan ‘voluntary unilateral declaration’ yang memantapkan ikatan syarikat-syarikat yang menandatangani CIP terhadap prinsip-prinsip anti rasuah.

Ia merupakan satu platform terbaik kepada syarikat swasta merekabentuk manifestasi benci rasuah dan mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih berdaya maju yang bebas rasuah.

Pada akhir ucapan, beliau turut menjelaskan inisiatif terkini yang dilaksanakan oleh SPRM adalah Program Transformasi Pencegahan yang meliputi Pencegahan Rasuah Sektor Swasta, Pengurusan Media, Pembabitan SPRM bersama Ahli Politik dan Parti Politik dan Pemeriksaan secara ‘Task Force’.


Antara yang turut hadir di Majlis Penerangan SPRM bersama AFBB ialah Ketua Pegawai Eksekutif Asian Finance Bank Berhad, Y.Bhg Datuk Mohamed Azahari bin Mohamed Kamil, Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Y.Bhg Datuk Haji Mustaffar bin Ali,, Pengarah-Pengarah Bahagian SPRM, pegawai-pegawai kanan, staf serta pegawai-pegawai AFBB

SAJ Holding Tandatangani Ikrar Integriti Korporat

Oleh : Erfieza Mujeini, Zatul Yahaya & Laila Bayan


JOHOR BAHRU - SAJ Holdings Sdn Bhd (SAJ) hari ini menandatangani Ikrar Integriti Korporat sebagai usaha memastikan persekitaran perniagaan yang bebas rasuah dalam memberi perkhidmatan bekalan air yang terbaik kepada kira-kira 3.5 juta pengguna air di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Wahab Abdul Hamid berkata,  komitmen ini mampu mengekang peningkatan kos di samping mampu membina operasi perniagaan yang sihat dan mengamalkan good governanance di SAJ.

Menurutnya, SAJ sudahpun mempunyai enam nilai dasar yang  menekankan aspek integriti sebagai elemen utama dalam operasi sehariannya.

"Jesteru, komitmen ini penting dalam meningkatkan keyakinan pelanggan SAJ terhadap perkhidmatan yang diberikan sambil memberi nilai tambah kepada keyakinan pelabur dalam dan luar Negara yang melihat negeri Johor sebagai lokasi pelaburan yang berkesan," katanya.

Ikrar Integriti Korporat program yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menggalakkan amalan perniagaan yang baik, mengekalkan reputasi dan membina imej korporat sesebuah organisasi.


SAJ adalah antara syarikat korporay yang terawal di negeri Johor yang menandatangani ikrar berkenaan.


Ikrar Integriti ini ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Wahab Abdul Hamid, disaksikan oleh  Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM, Dato' Mohamed Yusoff Akope, Pengarah SPRM Johor, Dato' Simi Abdul Ghani Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Negeri Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad.

Turut hadir adalah Pengarah Eksekutif SAJ, Ahli-ahli Lembaga Pengarah SAJ serta pegawai kanan SAJ dan SPRM.


Tuesday, 17 September 2013

KESEDARAN RASUAH RENDAH


SEJAK pelancarannya pada 26 April 2010 sehinggalah rencana ini ditulis seramai 144 orang telah ditangkap
diseluruh negara atas kesalahan menyogok pegawai awam. Tempoh dua bulan ini memperlihatkan purata
tangkapan ke atas pemberi rasuah dianggarkan dua orang setiap hari. Statistik ini menunjukkan bahawa masyarakat masih lagi belum sedar bahawa perbuatan memberi atau menawarkan suapan rasuah merupakan satu perbuatan jenayah yang serius. Sekiranya didapati bersalah hukuman berat termasuk penjarase hingga 20 tahun dan denda RM10000 atau lima kali ganda nilai suapan menanti pelakunya. Media massa banyak membantu menyebarluaskan maklumat atau mesej berhubung Kempen Perangi Pemberi Rasuah ini.

Masyarakat didedahkan mengenai kesan buruk yang bakal dihadapi sekiranya terjebak dengan perlakuan ini. Berita-berita berhubung tangkapan pendakwaan dan hukuman yang dijatuhkan keatas pemberi rasuah hampir setiap hari dipaparkan dikaca televisyen mahupun didada akhbar-akhbar utama. Namun pertambahan jumlah perangkaan yang semakin bertambah ini memperlihatkan isu berkaitan kesalahan memberi rasuah ini masih dianggap remeh oleh segolongan besar masyarakat. Berdasarkan jumlah tangkapan keseluruhannya iaitu sebanyak 144 kes hampir 40 peratus atau 57 tangkapan melibatkan individu yang melakukan kesalahan jalanraya. Kenapa harus kita memperjudikan nasib dengan memberi sogokan rasuah atas kesalahan yang boleh dikompaun. Akibatnya bagi mengelakkan saman trafik yang bernilai RM300 kita terpaksa berhadapan pula dengan suatu kesalahan yang lebih serius iaitu berhadapan hukuman penjara dan denda yang lebih tinggi. Masyarakat harus mengubah persepsi negatif mereka terhadap penjawat awam khususnya anggota penguatkuasa. Zaman telah berubah begitu juga semangat dan iltizam penjawat awam. Maruah perkhidmatan awam bukan untuk digadai atau dijual. Wang ringgit bukan galang gantinya.

Kewujudan anggota penguatkuasa dari pelbagai agensi bertujuan memelihara keselamatan dan kesejahteraan pengguna jalanraya keseluruhannya. Segelintir masyarakat yang hanya mementingkan diri dengan melanggar peraturan yang ditetapkan wajar dihukum sebagai tanda pengajaran untuk menjadi lebih disiplin. Sikap cuai gopoh memandu secara melulu dan tidak sabar membuatkan individu menjadi pembunuh di atas jalanraya.
Atas sebab-sebab inilah maka kemalangan maut sering berlaku sehingga menyebabkan kematian
pengguna jalan raya lain yang tidak berdosa. Sesal dahulu berpendapatan sesal kemudian tiada
gunanya. Kajian yang dijalankan oleh pihak berwajib menunjukkan kemalangan yang berlaku hampir 75
peratus disebabkan faktor kecuaian manusia. Selain kesalahan jalanraya satu lagi kesalahan yang
menjadi punca kepada perlakuan rasuah ialah kesalahan yang melibatkan pendatang tanpa izin.
Penjawat awam sekali lagi cuba disogok untuk melindungi pendatang tanpa izin yang bukan sahaja
memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah malahan terbabit dengan lain-lain kegiatan
jenayah termasuk merompak, melacur, menyamun, dadah dan sebagainya. Seramai 38 orang pendatang tanpa izin yang ditangkap kerana menyogok anggota penguatkuasa. Sudahlah memasuki negara ini tanpa sah cuba pula membeli penguatkuasa bagi menutup kesalahan mereka. Jangan sesekali samakan anggota
penguatkuasa kita seperti di negara mereka. Sekali lagi masyarakat harus sedar kesan dan akibat
sekiranya PATI dibiarkan berleluasa menjalankan kegiatan mereka di negara ini. Kita bukan tidak biasa
mendengar tumpasnya kegiatan samun pembunuhan, penculikan, rompakan, pengedarandadah, kegiatan
samseng dan pelacuran yang melibatkan warganegara asing. Hampir setiap hari dilaporkan dalam akhbar-akhbar berhubung jenayah berat yang dilakukan warga asing di negara tercinta ini. Adakah kita sebagai
warganegara Malaysia mahukan kedamaian dan kesejahteraan yang kita nikmati ini diragut begitu
sahaja dek kegiatan jenayah warga asing. Sungguh memalukan jika diteliti dari segi jumlah
wang rasuah yang cuba disogok kepada penjawat awam. Dari nilai RM3 hinggalah puluhan ribu
ditawarkan untuk melindungi kegiatan mereka. Apakah nilai maruah dan harga diri seorang anggota
keselamatan sekadar RM3sahaja. Terdapat juga kata-kata nakal dikalangan kita yang
mengatakan RM3 tangkap kalau RM30000 lepas. Ingin ditegaskan bahawa penjawat awam pada hari ini
sebenarnya telahb anyak berubah baik dari segi sikap, nilai integriti mahupun budaya kerjanya.
Buktinya seramai 10 orang anggota penguatkuasa yang ditawarkan rasuah bernilai melebihi RM1000000
menolak sogokan tersebut dan menangkap si pemberi rasuah. Secara keseluruhannya jumlah suapan yang
terlibat sepanjang dua bulan ini melibatkan sebanyak hampir RM350000. Wang ringgit bukan lagi menjadi keutamaan yang dikejar. Sebaliknya amanah dan perjuangan menegakkan undang-undang menjadi perjuangan. Jenayah dan permasalahan sosial yang berlaku di sekeliling membuatkan penjawat awam semakin muak dengan ragam dan tingkah laku penjenayah yang semakin tidak menghormati kedaulatan undang-undang negara ini. Kesannya rakyat yang tidak berdosa jadi mangsa.
 Keharmonian dan kesejahteraan hidup yang dikecapi semakin digugat. Ia bukanlah kata-kata retorik sebaliknya suatu kenyataan atau realiti yang harus diterima oleh segenap lapisan masyarakat. Kempen Perangi Pemberi Rasuah ini akan diteruskan sehinggalah keseluruhan masyarakat sedar bahawa perbuatan memberi dan menawarkan suapan rasuah adalah kesalahan yang serius. Berdasarkan kepada Statistik tangkapan ke atas pemberi rasuah Polis Diraja Malaysia harus diberikan pujian kerana telah berjaya menangkap lebih dari 50 orang pemberi rasuah diikuti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM menerusi operasi-operasi khasnya sebanyak 10 tangkapan RELA, 9 tangkapan JPJ, 8 tangkapan Imigresen, 5 tangkapan Perhutanan, 2 tangkapan Tenaga Nasional, 1 tangkapan dan PTG 1 tangkapan. Tumpuan difasa kedua adalah serbuan mengejut secara bersepadu pelbagai agensi penguatkuasa di seluruh negara ke atas sarang-sarang pelacuran, pengedaran dadah, pusat-pusat hiburan, rumah-rumah urut, kilang-kilang haram, pembalakan haram, kecurian pasir dan premis-premis yang disyaki menjalankan kegiatan jenayah.  Strategi pendekatan serampang duamata ini sekiranya dijalankan secara telus bukan sahaja akan memberi pengajaran ke atas pelaku-pelaku rasuah malahan turut menghapuskan pelbagai kegiatan jenayah lain.



Oleh : DATUK AHMAD KHUSAIRI DATUK YAHAYA
Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM)


ADUAN SAMPAH DI SPRM: BAGAIMANA IA BERKUALITI



Senario kumpulan kecil individu, organisasi mahupun berkepentingan politik 
membuat aduan terhadap setiap perkara yang ‘kononnya’ di dakwa mempunyai 
unsur rasuah seolah-olah sudah menjadi budaya. Taktik yang kadangkala 
mempunyai unsur kepentingan ‘politik’ dan peribadi ini dilakukan oleh lebih 
dari dua atau tiga orang dengan membuat aduan yang sama ke atas orang yang 
sama.

Malah tidak mustahil saya katakan ‘aduan sampah’ yang sedang dilabel sebagai 
‘mengganggu’ kerja-kerja penyiasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 
Malaysia (SPRM) ini mungkin juga termasuk aduan-aduan yang berbentuk surat 
layang atau tohmahan tanpa dokumen atau bukti yang dibuat hanya untuk 
mengenakan seseorang.

Ironinya, apabila SPRM mendedahkan bahawa hampir 50% daripada 6,793 
jumlah aduan yang diterima adalah ‘sampah’ sememangnya menimbulkan 
perasaan kurang senang bagi mereka yang pernah cuba tampil dan membuat 
aduan kepada SPRM mengenai salah laku rasuah.

Namun, penting untuk masyarakat umum mengetahui bahawa aduan atau 
maklumat yang tidak berasas hanya akan membazirkan masa menyiasat dan 
mencari elemen-elemen penting khususnya dalam memperincikan aduan dan 
membuat siasatan, sedangkan ianya tiada asas atau pembuktian pada pihak 
yang dikatakan melakukan rasuah itu.

Lain pula senarionya bagi pengadu atau pemberi maklumat ini membuat 
hebahan di media tentang aduan yang bakal dibuat kepada SPRM tanpa 
memikirkan implikasinya terhadap kerja-kerja siasatan yang belumpun bermula.
Perlu diingat, aduan ini akan dipaparkan di media dalam beberapa minit sahaja. 
Sekiranya pihak-pihak yang terlibat terlibat mengetahu bahawa kes berkenaan 
disiasat SPRM, adalah dipercayai kebarangkalian untuk mereka memusnah atau 
menghilangkan semua dokumen yang berkaitan transaksi rasuah dalam 
simpanannya.

Malah, saksi-saksi yang terlibat juga berpeluang mengubah keterangan dan jalan 
cerita aktiviti rasuah berkenaan, lebih teruk lagi mereka turut berpotensi 
menghilangkan diri.Kerahsiaan ini telah dinyatakan secara jelas melalui peruntukan yang terdapat 
dalam Seksyen 29 (4) Akta 694 (Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 
2009) yang menyatakan bahawa sesuatu aduan yang dibuat dibawah subseksyen 
(1) hendaklah dirahsiakan dan tidak boleh didedahkan oleh mana-mana orang 
selain pegawai-pegawai Suruhanjaya dan Pendakwa Raya sehinggalah orang 
yang tertuduh dipertuduh di mahkamah atas suatu kesalahan dibawah akta ini 
atau mana-mana undang-undang bertulis lain berbangkit daripada aduan itu 
melainkan dengan persetujuan Pendakwa Raya atau pegawai berpangkat 
Pesuruhjaya keatas.

Perkara-perkara ini antara risiko yang perlu dihadapi oleh SPRM dan ianya akan 
melambatkan proses siasatan.

Bagaimanapun, ini bukanlah kekangan kepada mereka yang mahu memberi 
maklumat mengenai rasuah atau penyelewengan tampil membuat aduan kepada 
SPRM. Apa yang perlu didedahkan kepada masyarakat ketika ini ialah bentuk 
dan ciri yang perlu ada pada maklumat atau aduan yang ingin dibuat supaya 
siasatan dapat dijalankan dengan menyeluruh.

Sekiranya kriteria ini dipenuhi, SPRM akan memperoleh maklumat yang 
lengkap yang mampu menghasilkan tindakan siasatan yang sempurna sehingga 
pihak yang bersalah boleh diheret ke mahkamah. Ini dapat mengurangkan 
pembaziran tenaga dan masa pegawainya apabila terpaksa mencari butiran 
remeh setiap kali menerima aduan yang sangat ringkas dan tidak lengkap. Ciriciri 5 W dan 1 H adalah satu pendekatan yang baik yang boleh digunapakai 
untuk memperolehi maklumat atau aduan yang berkualiti iaitu:

a. Bila (When)
b. Dimana (Where)
c. Siapa (Who)
d. Apa (What)
e. Kenapa (Why)
f. Bagaimana (How)

Tarikh, masa dan tempat kejadian merupakan elemen terpenting yang perlu 
diketahui oleh pemberi maklumat ketika membuat aduan. Ini antara faktor yang 
memperlihatkan bahawa maklumat yang diberi itu mempunyai kualiti pertama 
yang boleh membantu siasatan dan bukan aduan rasuah yang palsu atau 
sampah.

Seterusnya, si pemberi maklumat perlu menerangkan atau menceritakan tentang 
apa yang berlaku dan siapa yang terlibat didalam kejadian yang didakwa 
mempunyai unsur bagi tindakan seterusnya oleh SPRM. Bilangan dan saksi-saksi yang mengetahui atau melihat kejadian itu antara 
elemen penting yang perlu dipastikan oleh si pemberi maklumat. Ini antara cara 
yang boleh memperlihatkan bahawa aduan yang dibuat bukanlah aduan palsu 
atau sampah.

Si pemberi maklumat tidak perlu takut atau bimbang untuk memberikan nama 
saksi kejadian kerana seperti yang diketahui nama dan identiti pemberi 
maklumat termasuk kandungan maklumat adalah dirahsiakan. Ini dinyatakan 
dalam Seksyen 65 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 
mengenai Perlindungan Pemberi Maklumat.
Rujukan dan dokumen-dokumen berkaitan antara bahan sokongan yang boleh 
dibawa bagi memperkukuhkan aduan yang dibuat selain dapat membantu 
mempercepatkan proses tindakan selanjutkan oleh SPRM.
Pemberi maklumat perlu menyatakan jumlah wang/barangan/perkhidmatan 
atau perkara-perkara lain yang terlibat dalam aduannya. Maklumat ini adalah 
elemen penting dalam memperkukuhkan aduan yang dibuat kerana ia 
memperlihatkan berlakunya transaksi rasuah, penyelewengan atau salah guna 
kuasa telah berlaku.

Sekiranya diketahui, pemberi maklumat juga boleh memberikan butiran lain 
seperti nombor akaun, resit, nombor kad pengenalan, kenderaan, alamat rumah,
pejabat atau identiti perwatakan orang itu.
Kriteria maklumat yang lengkap dan berkualiti amat penting bagi mengelakkan 
berlakunya lambakan aduan palsu dan tidak berasas yang adakalanya dibayangi
tujuan tertentu seperti dendam, cemburu, dan berkepentingan peribadi atau 
politik.

Perlu adanya kesedaran dan rasa tangungjawab dalam diri setiap individu setiap 
kali melaporkan kesalahan rasuah kepada SPRM. Kesedaran itu pula perlulah 
beradasrkan niat untuk membantu siasatan bukan sekadar menghantar surat 
layang kononnya berlaku rasuah, tetapi tidak meletakkan penama, mahupun 
data mengenai mereka yang terlibat, sebaliknya hanya tuduhan semata dan 
persepsi semata-mata.

Zatul Yahaya – Putrajaya
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Blok D6, Kompleks D
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
Peti Surat 6000, 62007 Putrajaya