Tuesday, 1 October 2013

Apabila ditanya padaku

Apa itu rasuah?
Kerakusan menyelubungi,
Berpaksi duniawi
Syaitan meresapi
Nafsu menemani
Tergadai imani
Ketamakkan didahului

Apa kesannya?
Nila setitik,
Rosak susu sebelanga,
Rasuah diambik,
Habis rosak satu negara

Bagaimana nak atasinya?
Fikir gunannya akal,
Akal gunanya ilmu,
Ilmu gunanya iman,
Iman bertalikan Illahi,
Penyuluh yang pasti menerangi.


Sajak Nukilan: Ahmad Amir Asyraf, 27/3/2013, Kuala Lumpur

Wednesday, 25 September 2013

Pelakon Didakwa Tipu Jual Beli Tanah


KUALA LUMPUR, 11 Jul -  Seorang pelakon wanita yang pernah mewarnai dunia seni tanah air era 80-an dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah 14 di sini hari ini atas enam kesalahan membabitkan sindiket penipuan jual beli tanah.

Puteri Salbiah Megat Razali, 49, dituduh melakukan empat kesalahan di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan dan dua kesalahan di bawah Peraturan (25)(1)(j) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan, tertuduh didapati menipu Ng Miow Hia dengan jalan samaran apabila menyatakan orang yang bersamanya ketika itu sebagai tuan punya tanah di Lot 1230, 1231, 1232 dan 1233 Mukim Rim, Jasin Melaka.

Tertuduh didakwa menyatakan Maajis Senan sebagai Ahmad SK Duis manakala Yang Azizah Mohamed Yaacob sebagai Sipah Dues @ Sipak Duez.

Empat kesalahan tersebut dilakukan  di Restoran Burger King, KLCC, Kuala Lumpur pada dua tarikh berlainan iaitu  1 April 2010 dan 23 Jun 2010.

Bagi kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara, tertuduh didakwa telah memalsukan kad pengenalan atas nama dua pemilik tanah sekitar Januari 2010 hingga April 2010.

Kad pengenalan Ahmad SK Duis (pemilik tanah) telah dipalsukan sebagai pengenalan bagi Maajis Senan manakala kad pengenalan Sipah Duis @ Sipak Duez sebagai pengenalan bagi Yang Azizah Mohamed Yaccob.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,  Kevin Morais mencadangkan wang jaminan RM5,000 bagi setiap kesalahan.

Menurutnya jumlah tersebut dicadangkan kerana tertuduh tidak mematuhi syarat jaminan SPRM.

Tertuduh juga telah ke Brunei dan tangkapan dilakukakn dengan kerjasama pihak berkuasa di sana sebelum dibawa dan direman di Miri, Sarawak pada 9 Julai lalu.

Peguam bela tertuduh, Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan   merayu supaya jumlah jaminan dikurangkan kepada RM10,000 bagi kesemua pertuduhan.

Ia kerana penjamin iaitu kakak kandung tertuduh hanya berniaga secara kecil-kecilan dan tujuan tertuduh ke Brunei adalah untuk menjaga ayahnya yang sedang sakit.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain menetapkan jumlah jaminan RM24,000 bagi semua kesalahan.

Mahkamah Tolak Permohonan Bekas CEO Sime Darby


KUALA LUMPUR 18 Julai - Bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Sime Darby, Datuk Seri Ahmad Zubair Murshid hari ini gagal dalam permohonannya untuk dilepaskan tanpa dibebaskan daripada dua pertuduhan pecah amanah.

Hakim Mahkamah Sesyen, Murtazadi Amran menolak permohonan itu atas alasan pertuduhan yang dihadapi Ahmad Zubair adalah tidak cacat.

Ahmad Zubair memohon supaya dia dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan itu atas alasan ia tidak berasas dan cacat.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Mushaimi memberitahu pemberita, Hakim Murtazadi dalam keputusannya berkata mahkamah mendapati pertuduhan itu tidak cacat berdasarkan dokumen yang dilampirkan untuk menyokong pertuduhan itu.

"Sehubungan itu, hakim berkata mahkamah perlu mendengar keterangan daripada saksi untuk menentukan sama ada pertuduhan itu cacat atau tidak," katanya.

Mahkamah menetapkan 23 Ogos ini untuk sebutan semula kes itu.

- Sumber Bernama

Bekas Dekan Didakwa Kemuka Tuntutan Palsu


GEORGETOWN, 18 Julai 2013 - Seorang bekas Dekan Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga tuduhan mengemukakan tuntutan perjalanan palsu melibatkan wang RM1,242.
 
 
Prof. Dr. Ambigapathy Pandian yang kini merupakan Pensyarah Kanan Gred Jusa B berhadapan dengan tuduhan di bawah Seksyen 18 ASPRM 2009.
 
 
Di bawah tuduhan pertama, beliau didakwa melakukan kesalahan mengemukakan tuntutan palsu pada 10 Februari 2010 di Pejabat USM dengan niat memperdayakan Pembantu Tadbir Kewangan, yang merupakan wakil kepada prinsipal tertuduh.
 
 
Beliau didakwa mengemukakan tuntutan palsu elaun perjalanan dalam negeri bagi bulan Februari 2010 sedangkan tertuduh telah menggunakan kenderaan rasmi jabatan.
 
 
Dr. Ambigapathy membuat tuntutan menggunakan kenderaan sendiri berjumlah RM545 bagi perjalanan 6 hingga 8 Februari 2010.
 
 
Tuntutan dibuat bagi perjalanan menggunakan kenderaan jenis Mercedes Benz milik tertuduh sedangkan beliau menaiki kenderaan jabatan iaitu Proton Perdana.
 
 
Beliau turut membuat tuntutan elaun kenderaan pada 6 hingga 7 Februari 2010 ke USM Kubang Kerian, Kelantan dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sedangkan tuntutan tersebut telah dibayar kepada tertuduh pada 23 Mac 2010.
 
 
Dalam pada itu, mengikut tuduhan ketiga pula, beliau didakwa membuat tuntutan elaun kenderaan bagi perjalanan 8 sehingga 9 Februari 2010 iaitu dari UMT ke USM di sini.
 
 
Bagaimanapun beliau tidak melakukan perjalanan itu dan telah membuat tuntutan elaun perjalanan RM334.
 
 
Beliau dikenakan tuduhan di Mahkamah Sesyen (1) di sini di hadapan Khairul Anuar Abdul Halim.
 
 
Tuduhan ke atas beliau membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai butir matan palsu jika dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
 
 
Tertuduh diwakili peguam Athimulan Muruthiah manakala Timbalan Pendakwa Raya Janariah Mutalib mewakili SPRM.
 
 
Tertuduh tidak mengaku salah terhadap ketiga-tiga tuduh dan minta dibicarakan.
 
 
Hakim menetapkan sebutan semula kes pada 16 Ogos ini dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Beri Rasuah Untuk Tarik Laporan Polis


BUTTERWORTH, 22 JUL - Seorang Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) yang pernah berkhidmat sebagai Pegawai Daerah Seberang Prai Tengah didakwa di Mahkamah hari ini kerana memberi suapan RM 30,000 bagi menutup kesalahan gangguan seksual yang telah dilakukan.

Roslan Yahaya, 52,  PTD Gred M54 dituduh melakukan  kesalahan di bawah  Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.cuba merasuah suami kepada mangsa gangguan seksualnya.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu pada 3 Januari 2013, jam 10.30 malam, Bandar Sunway, Seberang Jaya, Seberang Perai Utara.

Tertuduh didakwa sebagai agen kerajaan Malaysia iaitu Pegawai Daerah dan Tanah, Seberang Perai Tengah, telah secara rasuah memberikan wang sebanyak RM30,000 kepada Mohd Shukri B A Hamid.
Wang tersebut adalah untuk diberikan kepada isteri Mohd Adle Ismail, Nor Amiza Bt Azmee bagi menarik semula aduan polis yang melibatkan dirinya sebagai Orang Kena Tuduh.

Nor Amiza merupakan Pembantu Tadbir Kesetiausahaan tertuduh ketika itu telah membuat laporan polis berkaitan gangguan seksual yang diterimanya.

Tertuduh telah meminta wanita berkenaan untuk menandatangani satu surat akuan bersumpah sebagai penyelesaian agar kes ganggual seksual terhadapnya tidak diteruskan.

Tertuduh mengaku tidak bersalah pada pertuduhan yang dibacakan ke atasnya.

Hakim, Meor Sulaiman menetapkan wang jaminan RM15,000 dan 29 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula.

Pendakwaan SPRM diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Janariah Abdul Mutalib manakala tertuduh diwakili oleh peguambela S. Anthonysamy.

Sekiranya sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman  di bawah seksyen 24 Akta yang sama, penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.

Ahli Timbang Tara Didakwa Lagi


KUALA LUMPUR, 25 Julai - Penimbang tara bertauliah yang didakwa bulan lalu berhubung kesalahan meminta rasuah RM6 juta, hari ini menghadapi tuduhan baru iaitu menipu Pengarah Pusat Penimbang Tara Serantau Kuala Lumpur (KLRCA).


Yusof Holmes Abdullah, 69, didakwa di Mahkamah Sesyen Jenayah di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan (KK) dan turut dibacakan pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 199 KK kerana menipu Pengarah KLRCA pada 25 Januari 2010.


Tertuduh didakwa menipu dengan memperdayakan Pengarah KLRCA untuk mempercayai 'Statement of Independence' bertarikh 18 Januari 2010 yang ditandatanganinya adalah benar.


Oleh itu, tertuduh dengan sengaja mendorong Pengarah KLRCA untuk melantik beliau sebagai penimbang tara dalam pertikaian antara JMR Construction Sdn Bhd dan Nanjing Changjiang Waterway Engineering Bureau di mana sekiranya diketahui dokumen tersebut tidak benar beliau tidak akan dilantik.


Tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.


Peguam bela tertuduh, Wong Kian Kheong memohon supaya tidak dikenakan wang jaminan yang terlalu tinggi, sebaliknya RM20,000 memandangkan tertuduh tidak berisiko akan meninggalkan Malaysia.


Mahkamah turut dimaklumkan bahawa tertuduh telah mendapat taraf Pemastautin Tetap dan mempunyai isteri warganegara Malaysia.


Timbalan Pendakwa Raya,  Hanim Mohd Rashid menyatakan pihaknya tidak mempunyai bantahan ke atas permohonan tersebut memandangkan pas perjalanan tertuduh telah diserahkan kepada mahkamah bagi pertuduhan terdahulu.


Hanim turut memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya sedang dalam permohonan untuk membawa kes tertuduh yang dibicarakan di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.


Hakim Rozillah Salleh menetapkan wang jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan 21 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula.


Pada akhir bulan lalu, tertuduh bersama seorang lagi rakannya telah dituduh di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang kerana meminta rasuah RM6 juta sebagai dorongan bagi menyelesaikan satu pertikaian membabitkan dua syarikat termasuk satu syarikat asing tahun lalu.

Anak Bekas Menteri Mengaku Bersalah Guna Dokumen Palsu


KUALA LUMPUR - Anak seorang bekas timbalan menteri hari ini mengaku bersalah menggunakan dokumen palsu kononnya diperakukan oleh menteri untuk mengadakan satu projek di Johor tahun lalu.


Hakim Mahkamah Sesyen Ahmad Zamzani Mohd. Zain yang mendengar kes itu mengenakan denda RM40,000 ke atas Nizam Lajim, 31.


Nizam dikenakan tuduhan itu 27 Mei lalu.


Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan kerana menggunakan dokumen yang didakwa diperakukan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato' Seri Mohd Shafie Apdal.


Tertuduh didakwa melakukan kesalahan pada 8 Ogos 2012, jam lebih kurang 3.40 petang di  Berjaya Starbucks Coffee, The Mall di sini dengan curangnya telah menggunakan satu dokumen sebagai tulen iaitu Lampiran 1 bertarikh 25 Julai 2012, yang bertajuk "SENARAI SYARIKAT YANG DICADANGKAN UNTUK MELAKSANAKAN PROJEK  MEMBINA JALAN MUKIM 6 LINAU DAN MUKIM 7, TG. SEMBERONG, BATU PAHAT, JOHOR SECARA TENDER TERHAD".


Dokumen tersebut kononnya  diperakukan oleh Mohd Shafie untuk melaksanakan projek membina Jalan Mukim 6 Linau dan Mukim 7, Tg Semberong, Batu Pahat Johor.


Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afifah Mamat yang mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia manakala tertuduh diwakili oleh Datuk K. Kumarendran.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Blok D6, Kompleks D
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
Peti Surat 6000, 62007 Putrajaya