Wednesday, 9 October 2013

Maklumbalas Kepada Kenyataan Menteri Pertanian dan Asas Tani

SPRM ingin merujuk kenyataan Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Ismail Sabri Yaakob semalam yang menegaskan bahawa kementerian tidak akan melindungi mana-mana kakitangannya yang didapati terlibat dengan gejala rasuah membabitkan nelayan asing.


SPRM menyangjung tinggi dan menghargai maklumbalas proaktif yang dikeluarkan Menteri tersebut berhubung isu ini.


Kesediaan dan kerjasama ditunjukkannya beliau sekiranya melibatkan anggota kementeriannya amatlah dihargai dan SPRM menyeru agar ia dicontohi mana-mana kementerian dan agensi penguat kuasa lain.


Komitmen ditunjukkan YB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengambil tindakan tegas membatalkan serta-merta lesen pengusaha bot yang menyewa atau memajakkan bot mereka sepenuhnya kepada nelayan Vietnam ini telah membantu mengekang pencerobohan tersebut. SPRM   menyokonig komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh Menteri Pertanian dan Asas Tani dan sedia bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Asas Tani demi kebaikan orang ramai terutama golongan nelayan.


Kenyataan beliau rentetan dari tindakan SPRM dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia yang berjaya memberkas lapan lelaki bagi membantu siasatan kes bersindiket berkenaan dan sehingga ini SPRM telah menyita sejumlah wang RM1.2 juta yang digunakan untuk merasuah penguat kuasa.


Datuk Mohd Shukri Abdull
Timbalan Pesuruhjaya (Operasi)
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Putrajaya
2 Oktober 2013

Tuesday, 8 October 2013

Usaha Pembanterasan Rasuah SPRM Dapat Pujian

Oleh : Nurirdzuana Ismail

KUALA LUMPUR 26 September 2013-  Menteri di Jabatan Perdana Menteri  Senator Datuk Paul Low Seng Kuan memuji  usaha- usaha membanteras rasuah yang telah dilaksanakan oleh SPRM  secara menyeluruh dan akan terus memberi sokongan kepada Suruhanjaya ini. Katanya semasa pertemuan khas bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM bertempat di   Bilik Mesyuarat Utama  Akademi Pencegahan petang ini.


Paul Low dalam taklimat ringkas mengenai inisiatif kerajaan  terkini dalam memperkasakan usaha pencegahan rasuah di peringkat nasional melalui jalinan kolaborasi dan kerjasama strategik antara Kementerian  mengenai tadbir urus terbaik dan integriti  yang sedang dilaksanakan. Beliau turut berkata bahawa kolaborasi ini adalah di atas dasar sukarela sesuatu kementerian mahupun pihak - pihak lain yang ingin menjelaskan komitmen mereka ke arah pembudayaan integriti  dan tadbir urus unggul.


Setakat ini, Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah menunjukkan minat untuk menerajui  kolaborasi ini sebagai perintis dan akan diikuti oleh Kerajaan Negeri Kedah . Manakala, Kementerian Kerja Raya juga telah mulai menerajui usaha pencegahan rasuah didalam industri pembinaan serta kontraktor dan juga akan turut bekerjasama dalam menjayakan inisiatif ini.



Beliau menegaskan bahawa, Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) yang dilatih oleh SPRM akan menjadi pemandu utama bagi agenda G&I, Menteri Tadbir Urus dan Integriti  yang akan dipengerusikan oleh Menteri Di Kementerian berkaitan  manakala keanggotaan terdiri daripada Ketua Setiausaha Kementerian, Ketua Audit Negara dan Unit Integriti.


Antara bidang kerja yang dicadangkan merangkumi perolehan, tadbir urus dalaman, Ketelusan maklumat, Laporan Ketua Audit Negara manakala secara luaran pula merangkumi kerjasama strategik dalam industri berkaitan dan perlaksanaan persepakatan integriti (Integrity Pact) secara komprehensif dan menyeluruh. Menerusi inisiatif ini,  Key Performance Index (KPI)dapat diukur dan ditentukan manakala inisiatif akan seiiring dengan aspirasi Jawatankuasa Tadbir Urus  (JKTU) setiap kementerian.


Beberapa perkara penting telah dibincangkan di antara ahli Lembaga dan Menteri tersebut ,antaranya adalah mengenai cadangan penambahbaikan Seksyen 23 Akta SPRM 2009 , mengenai kebebasan SPRM serta cadangan perlantikan Ketua Pesuruhjaya melalui perlembagaan.


Pertemuan tersebut turut dihadiri oleh  ahli - ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah ,  Puan Sri Zaiton Zawiyah Puteh (Bekas Peguam Cara, Pejabat Peguam Negara),Tan Sri Hamid Bugo (Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak), Prof Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan (UIAM), Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan (Pengerusi ISIS Malaysia),Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas (Presiden, Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia), Tan Sri Ismail Adam, Datuk Rashpal Singh,Tan Sri Yong Poh Kon (Pengarah Urusan Royal Selangor International Sdn Bhd),Tan Sri Dato Dr. Michael Yeoh Oon Kheng  , Datin Halimah Mohd Said serta Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Dato Mohd Shukri Abdull, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Professionalisme) Dato Hj. Zakaria Jaffar, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Dato Sutinah Sutan,  Pengarah Bahagian Dasar dan Penyelidikan, Dato Ahmad Kushairi Yahya dan pegawai- pegawai kanan SPRM.

Monday, 7 October 2013

Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Ditahan Seleweng RM100,000 Wang Dana


PUTRAJAYA 1 Okt. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas ahli lembaga pengarah Persatuan Nelayan kawasan Kota Marudu dan Pitas, Sabah kerana dipercayai menyeleweng dana transformasi nelayan berjumlah RM100,000 sejak tiga tahun lalu.

Menurut jurucakap SPRM, lelaki berusia 60 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Kota Kinabalu pagi ini sejurus selesai disoal siasat oleh pegawai SPRM.

"Suspek dipercayai menyeleweng wang berjumlah RM100,000 daripada RM200,000 dana yang diberikan kepada persatuan berkenaan sejak 2009. Penahanan ini dilakukan hasil maklumat orang ramai.

"Suspek ditahan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan bagi kesalahan menyalahgunakan harta dengan curang," katanya di sini hari ini.

Jurucakap itu berkata, suspek dijangka akan di dakwa di mahkamah secepat mungkin.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Jalil Jaafar ketika dihubungi mengesahkan mengenai penahanan tersebut.

[TAMAT]
 

Sunday, 6 October 2013

Penolong Pengurus Pemasaran Dituduh Terima Suapan


KUALA LUMPUR, 26 September -Seorang wanita yang bekerja sebagai Penolong Pegurus   Pemasaran di sebuah syarikat pembinaan mengaku tidak bersalah terhadap tiga tuduhan menerima suapan RM 5000 dari tiga individu dua tahun lalu.

Choo Hwai Yee, 42 yang bekerja di Maharajalela Management Sdn Bhd  didakwa melakukan tiga kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 kerana meminta dan menerima suapan.

Pertuduhan pertama  Hwai Yee, didakwa menerima suapan RM 2500 daripada Muhamad Yahya Mohd Rashid.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima suapan dari Lim Yeoh Min sebanyak RM 2000  dan tuduhan ketiga pula menerima RM 500  dari Muhammad Yahya Mohd Rashid.

Semua  suapan tersebut adalah  sebagai dorongan untuk pengecualian pembayaran deposit dan  mempercepatkan proses pemulangan semula wang deposit bagi pembelian rumah di Bandar Damai Perdana  Cheras.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut pada   6 Disember 2011 jam 3.30 petang di pejabat jualan 2A, Jln Damai 9/2F, Bandar Damai Perdana, Cheras Kuala Lumpur.

Hakim Mahkamah Sesyen, Rosbiahanim Ariffin membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM15,000.Kes akan disebut semula 23 Oktober ini.

Usaha Gempur Sindiket Pukat Tunda


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak menggempur sindiket yang dipercayai aktif memberi rasuah bagi memudahkan aktiviti mereka menarik pukat tunda di perairan negara sejak lebih setahun lalu.

Rungutan dari golongan nelayan tempatan telah mula disuarakan sejak Januari tahun lalu apabila terdapat aktiviti nelayan asing yang berleluasa di sekitar perairan Laut China Selatan.

Rentetan daripada maklumat yang diterima,  SPRM telah mengambil tindakan proaktif bagi membantu agensi penguatkuasaan yang berkaitan membendung aktiviti haram ini.

Sejak Mac 2013 SPRM dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah menjalankan operasi untuk mengesan kewujudan unsur rasuah dalam aktiviti penggunaan pukat tunda secara haram ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Mohd Shukri Abdull berkata isu rasuah dalam penggunaan pukat tunda secara haram ini telah berada di dalam radar SPRM sejak ia mula dilaporkan tahun lalu.

Katanya sejak Mac lalu SPRM telah menjalankan siasatan yang teliti dan disyaki penggunaan pukat tunda ini turut membabitkan usaha merasuah pegawai penguatkuasa.


"Hasil maklumat yang diperolehi mendapati sindiket ini didalangi oleh tiga kumpulan utama yang dianggotai oleh warga tempatan dan asing (Vietnam).

"Sehingga hari ini beberapa siri transaksi telah berjaya dikesan dan setakat ini sebanyak RM 1.2 juta wang tunai untuk tujuan merasuah telahpun dirampas.

"Manakala sebanyak empat buah bot pukat ganding milik warga Vietnam yang dianggarkan bernilai hampir RM 5 juta juga telah di sita," katanya.

Menurutnya, isu penggunaan pukat tunda secara haram ini dilihat sebagai serius dan ianya bukan sahaja mengancam ekosistem serta pendapatan nelayan malahan ia boleh mengancam keselamatan negara.


Beliau  turut memaklumkan dalam operasi yang dijalankan oleh SPRM sejak semalam, sebanyak lapan individu telah ditangkap bagi membantu siasatan.

Katanya kesemua yang ditangkap disiasat di bawah Seksyen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 membabitkan kesalahan menerima suapan.

"Dua tangkapan dilakukan di Kuala Lumpur, dua di Kota Tinggi,Johor, dua di Kuantan, Pahang dan dua tangkapan dilakukan di Kota Bahru, Kelantan.

"Kesemua yang ditahan adalah lelaki dan berusia dalam lingkungan 35 hingga 60 tahun dan kesemuanya direman antara empat ke enam hari,"katanya.


Dua kesalahan utama yang dikesan adalah membabitkan bayaran rasuah untuk melepaskan bot yang ditahan dan bayaran rasuah dari nelayan asing supaya mereka tidak dikenakan tindakan undang-undang.


Shukri pada masa sama turut menyatakan penghargaan kepada APMM atas kerjasama dalam membantu SPRM menyempurnakan operasi ini dan berharap agar agensi penguatkuasaan lain juga mencontohi APMM dalam menyalurkan info kepada SPRM.


TAMAT.

LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA: MAKLUM BALAS SUSULAN SPRM


Suruhanjaya  Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandang serius kelemahan dan ketirisan yang dibentangkan dalam Laporan Ketua Audit Negara, dan yang terbaharu daripada Laporan Ketua Audit Negara 2012. Adalah tugas dan tanggungjawab SPRM untuk menyiasat kes-kes berunsur rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan yang termasuk diketengahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

SPRM memberi perhatian terhadap isu-isu yang tertakluk di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009). Justeru, sekiranya ada-ada unsur rasuah, salah guna kuasa dan pelanggaran Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dan Arahan Perbendaharaan, SPRM akan mengambil tindakan tegas sewajarnya termasuk mengesyorkan tindakan disiplin kepada agensi-agensi berkaitan.

Berhubung kenyataan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, SPRM ingin memaklumkan bahawa SPRM telah pun mula meneliti isu-isu yang ada kaitan unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa serta pemalsuan.

SPRM melihat penubuhan jawatankuasa khas, yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, sebagai satu usaha yang sangat signifikan dan proaktif agar isu-isu yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara tidak berulang, dan pada masa yang sama, tindakan paling tegas diambil terhadap mereka yang cuai dan gagal mematuhi peraturan dan undang-undang, dan lebih-lebih lagi terhadap mereka yang terlibat dalam gejala rasuah.

Selain menjalankan penyiasatan semenjak pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012, SPRM juga telah mengadakan perbincangan  dengan Jabatan Audit Negara bagi mendapatkan maklumat yang boleh membantu penyiasatan dan lain-lain tindakan sewajarnya.

SPRM juga telah menubuhkan Pasukan Khas bersama dengan Jabatan Audit Negara bagi mengambil tindakan susulan. SPRM yang menerajui Pasukan Khas ini akan membentangkan hasil penemuan, pelan tindakan dan cadangan bagi mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang didapati melakukan salah laku rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan pemalsuan.

Susulan pembentangan Laporan Ketua Audit Negara 2012 di Parlimen, sehingga kini 15 kertas siasatan telah dibuka. Siasatan dijalankan di bawah peruntukan Akta SPRM 2009. Bagi Laporan Ketua Audit Negara 2011, sebanyak dua kes telah dibawa ke mahkamah manakala lima orang pegawai kerajaan telah dikenakan tindakan tatatertib. Pada masa yang sama, hasil tindakan bersama SPRM dengan lain-lain agensi kerajaan, tindakan penambahbaikan sistem dan prosedur serta tatatcara kerja bagi mengurangkan risiko, ruang dan peluang gejala rasuah juga telah diambil.


Pesuruhjaya Datuk Haji Mustafar Haji Ali
Pengarah Siasatan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Putrajaya
6 Oktober 2013

 

Maklumbalas Laporan Ketua Audit Negara 2013


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM)  merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara (LKAN)  2012 yang dikeluarkan dan dibentangkan di Parlimen semalam.

SPRM sedang meneliti LKAN 2013 yang dikeluarkan semalam dan seterusnya merangka tindakan yang wajar.

Suruhanjaya ini mengambil serius terhadap setiap penemuan yang dilaporkan dan tindakan susulan akan dibuat setelah satu kajian terperinci dilakukan terhadap segala maklumat yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara itu.




Datuk Mohd Shukri Abdull
Timbalan Pesuruhjaya (Operasi)
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Putrajaya
2 Oktober 2013
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Blok D6, Kompleks D
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
Peti Surat 6000, 62007 Putrajaya