Monday, 21 October 2013

SPRM Tahan Pemberi Rasuah Lindungi Penerokaan Haram Di Cameron Highlands


PUTRAJAYA, 9 Oktober - Seorang lelaki berusia awal 40-an ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini kerana disyaki cuba memberi rasuah bagi melindungi aktiviti penerokaan tanah secara haram di Cameron Highlands.


Lelaki berkenaan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya sekitar jam 9.15 pagi hari ini.


Lelaki berkenaan ditangkap semalam (8 Oktober) di sebuah hotel di ibu negara.



Individu berkenaan ditangkap ketika cuba menawarkan rasuah kepada seorang pegawai agensi penguatkuasaan yang bertangungjawab memantau aktiviti pertanian di kawasan tanah tinggi tersebut.

Lelaki berkenaan buka sahaja disyaki menjalankan aktiviti penerokaan tanah secara haram malah turut menjalankan kerja-kerja di luar kawasan yang dibenarkan di sekitar tanah tinggi tersebut.


Bagi melindungi aktiviti haram tersebut, beliau cuba merasuah pegawai penguatkuasa yang memantau aktiviti penerokaan di kawasan itu supaya tiada tindakan yang diambil keatasnya.


Kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia membabitkan kesalahan memberi suapan kepada penjawat awam.


Kebimbangan terhadap aktiviti penerokaan tanah secara haram di Cameron Highlands telah mula disuarakan umum sejak tahun lalu lagi apabila aktiviti ini dikhuatiri mendatangkan impak yang negatif kepada kawasan tanah tinggi yang menjadi tempat pertanian dan pelancongan itu.


Tamat.

Dua Lagi Dituduh Beri Rasuah Lindungi Sindiket Pukat Tunda


KUALA LUMPUR, 7 Oktober 2013 - Dua lagi individu yang terbabit dalam sindiket pukat tunda dalam aktiviti perikanan di perairan negara ini, dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah 9 Kuala Lumpur hari ini atas kesalahan menawar dan memberi suapan kepada anggota penguatkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi melindungi bot nelayan Vietnam  yang menangkap ikan di perairan negara.

Pengusaha bot, Law Chark Huat, 42 dan rakannya  Muhammad Nooraizuddin Mohammed Yusoff, 28  dituduh melakukan tiga kesalahan di bawah Seksyen 17(b) ASPRM 2009 dan satu kesalahan di bawah Seksyen 16(b)(B) ASPRM 2009.

Tiga pertuduhan yang dikenakan membabitkan kesalahan menawar suapan RM 168,000 kepada anggota penguatkuasa APMM.

Pertuduhan pertama,  kedua-dua tertuduh didakwa dengan niat bersama telah secara rasuah menawarkan suapan sebanyak RM 8,000 Wan Burhanuddin Jusoh pada 14 Ogos 2013 di Hotel Concorde, Kuala Lumpur.

Pertuduhan kedua dilakukan pada 20 Ogos 2013 apabila tertuduh menawarkan suapan wang tunai RM 10,000 kepada individu yang sama.

Kedua suapan tersebut ditawarkan sebagai dorongan untuk melindungi bot nelayan Vietnam yang masuk ke perairan Kelantan bagi menjalankan kegiatan menangkap ikan.

Bagi pertuduhan ketiga, kedua tertuduh didakwa menawarkan wang tunai RM 150,000 kepada Wan Burhanuddin pada 15 September 2013 sebagai dorongan untuk melepaskan bot KNF 7884 yang ditahan APMM Tok Bali, Kelantan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Perikanan 1985.

Manakala bagi pertuduhan keempat kedua tertuduh didakwa  dibawah Seksyen 16(b)(A) ASPRM 2009  apabila dengan niat bersama telah memberikan suapan RM30,000 kepada Izman Alies sebagai deposit daripada jumlah RM 150,000 yang ditawarkan bagi tujuan melepaskan bot yang ditahan APMM.

Peguambela kedua tertuduh, Alfred Egin dalam rayuannya memohon supaya jumlah jaminan terhadap anak guamnya sebanyak RM 10,000 seorang.

Menurutnya tertuduh pertama, Law Chark Huat hanya seorang pengusaha bot yang berpendapatan RM 5,000 sebulan. Manakala Muhamad Nooraizudin pula tidak bekerja dan mempunyai lima orang anak.

Hakim Mahkamah Sesyen  Khas Rasuah, Rosbiahanin Ariffin menetapkan jumlah jaminan RM 500,000 dengan seorang penjamin bagi tiga kesalahan yang dituduh di bawah Seksyen 17(b) ASPRM 2009.

Manakala bagi pertuduhan di bawah Seksyen 16(b)(A) ASPRM 2009 tertuduh dikenakan wang jaminan RM 100,000 dengan seorang penjamin.

Sebutan semula ditetapkan pada 8 November ini bagi kesemua petuduhan.

Pendakwaan SPRM diwakili oleh Pegawai Pendakwa Mohd Nur Lokman Samingan.


Bekas Penolong Pengarah Ukur Bahan JKR Terima Suapan Bagi Pembayaran Ansuran Kereta Isteri


KUALA LUMPUR, 7 Oktober 2013 - Bekas Penolong Pengarah Ukur Bahan Jabatan Kerja Raya Negeri Sarawak, Ismail bin Ahim hari ini dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah (Rasuah) 8, Kuala Lumpur di atas 7 pertuduhan seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana menerima suapan RM8264.00 bagi pembayaran ansuran kereta milik isteri beliau.

Ismail, 59 dituduh melakukan kesalahan tersebut sekitar bulan April, Mei, Julai, September, Oktober , November 2007 dan bulan Januari 2008 dalam bentuk cek RHB Bank Berhad Syarikat Inai Kiara Sdn. Bhd. berjumlah RM1,078 untuk pembayaran ansuran kereta milik isteri beliau, Norinah binti Abdul Ghani nombor pendaftaran WPW 4668 bertempat di Ambank (M) Berhad, Jalan Jejaka 2, Taman Maluri, Kuala Lumpur yang diketahui ada kena mengena dalam urusan rasmi Ismail sebagai Penolong Pengarah Ukur Bahan, Jabatan Kerja Raya Sarawak.

Pertuduhan Seksyen 165 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh boleh sampai 2 tahun, atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Ismail mengaku tidak bersalah atas setiap 7 pertuduhan yang dibacakan kepadanya oleh Jurubahasa Mahkamah  dan mohon dibicarakan.

Timbalan Pendakwa Raya Kevin Morais yang mewakili SPRM dalam mengemukakan hujah memohon mahkamah tidak menawarkan jaminan kepada Ismail atas alasan penggunanan Seksyen 388 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) yang mempunyai alasan untuk tidak boleh dijamin.

Fahri Azzat dan P.G Cyril yang mewakili Ismail memohon mahkamah membenarkan anak guam mereka diikat jamin dengan seorang penjamin dengan mengemukakan 5 alasan mengapa mahkamah perlu mempertimbangkan jaminan.

Antara isu yang dikemukakan oleh Peguam Bela termasuk sejak disiasat, anak guam mereka telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak SPRM dengan hadir dalam semua sesi temuduga yang dijalankan. Ismail juga telah berkhidmat selama 35 tahun di dalam perkhidmatan kerajaan dan mempunyai rekod perkhidmatan yang cemerlang. 

Beliau juga turut di jamin sebanyak RM5,000 berhubung satu aduan kes lain. Kali terakhir Ismail ke luar Negara adalah pada tahun 2009 dan beliau mempunyai masalah diabetes, tekanan darah tinggi dan kolesterol.

Kevin Morais dalam hujahan balas beliau menegaskan tiada sebarang laporan kesihatan yang dikemukakan kepada SPRM dan memohon jaminan tidak perlu ditawarkan kepada Ismail.

Hakim Mohd Nasir Nordin dalam pada itu membuat keputusan bahawa Ismail ditawarkan jaminan RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 November 2013 bagi sebutan semula kes.

Jika sabit kesalahan, Seksyen 165 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh boleh sampai 2 tahun, atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali.

Pegawai Kanan KPT Dituduh Menerima Rasuah RM3,000 Berbentuk Cek


KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Seorang pegawai kanan di  Kementerian Pengajian Tinggi hari ini dituduh di Mahkamah Khas Jenayah Rasuah membabitkan kesalahan menerima deposit cek berjumlah RM 3,000 dari pemilik syarikat yang mempunyai hubungan kerja dengannya.

Ismail Nor Hassan Basri, 42, ketika melakukan kesalahan tersebut memegang jawatan sebagai Ketua Penolong Pengarah di Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Tertuduh sebagai penjawat awam didakwa telah menerima untuk dirinya sendiri satu benda berharga iaitu deposit cek  Hong Leong Bank berjumlah RM3,000 daripada seorang pemilik syarikat Low Chon Yok tanpa sebarang balasan.

Low Chon Yok diketahui tertuduh mempunyai  kaitan dengan tender perkhidmatan merekabentuk, penyediaan dan pemasangan booth pameran pendidikan termasuk perkhidmatan sewaan tapak pameran dan perkhidmatan penyediaan untuk majlis pelancaran dan majlis penutup Karnival Pengajian Tinggi Negara Jom Masuk U KPT dimana tertuduh  telah terlibat dalam program tersebut.

Perbuatan tersebut dilakukan pada 4 Oktober 2011, bertempat di Hong Leong Bank Cawangan Setapak, Taman Setapak Indah Jaya Off Jalan Genting Kelang, Kuala Lumpur.

Tertuduh yang mengaku tidak bersalah mohon untuk dibicarakan.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Amir Hamzah Idris menawarkan jumlah jaminan sebanyak RM 10,000. Peguambela tertuduh, Tan Hui Chuan  merayu supaya denda diturunkan kepada RM 3,000.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zin menetapkan wang jaminan RM 10,000 dengan seorang penjamin dan pas perjalanan diserahkan kepada mahkamah serta 12 November sebutan.

Sekiranya sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman  penjara selama tempoh sehingga  dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya.

Tamat.

Kenyataan Media Berkenaan Isu Rasuah Dalam Pemilihan Jawatan Parti Politik


Merujuk kepada laporan media kebelakangan ini dan kenyataan Transparency International Malaysia (TI-M) yang dikeluarkan hari ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin menegaskan bahawa SPRM sama sekali tidak pernah membuat kenyataan mengatakan tidak menyiasat aduan-aduan berkaitan dengan politik wang, yang menjadi perhatian di sebalik suasana pemilihan Umno yang sedang berlangsung sekarang.

Pendirian SPRM ialah segala tohmahan berkaitan isu pemilihan wajar disalurkan kepada Lembaga Disiplin UMNO terlebih dahulu. Sekiranya Lembaga Disiplin mendapati tohmahan ini mempunyai bukti-bukti berlakunya perlakuan rasuah, maka perkara ini boleh dirujuk kepada SPRM untuk tindakan mengikut undang-undang.

SPRM ingin menegaskan bahawa perkara ini tidak tertakluk kepada pemilihan UMNO semata-mata tetapi juga turut merangkumi pemilihan parti-parti politik lain di Malaysia.

SPRM sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan bahawa SPRM menyerahkan kepada Lembaga Disiplin UMNO untuk menyemak dan menapis aduan-aduan melibatkan politik wang terlebih dahulu. Justeru, sekiranya ada bukti wujudnya unsur rasuah, jawatankuasa disiplin boleh merujuk kepada SPRM untuk diambil tindakan yang sewajarnya mengikut skop Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009).

Berdasarkan pengalaman lalu maklumat yang dirujuk kepada SPRM adalah lebih kepada perlanggaran Kod Etika parti. Oleh itu amatlah wajar perkara ini diteliti oleh  jawatankuasa disiplin parti masing-masing.

SPRM hanya akan bertindak sekiranya maklumat ini mengandungi elemen rasuah seperti diperuntukkan di bawah Akta ASPRM 2009.

Di sini SPRM juga ingin menegaskan bahawa menjadi tanggungjawab SPRM untuk menyiasat aduan-aduan berunsur rasuah daripada mana-mana parti politik mengikut peruntukan yang termaktub dalam Akta SPRM 2009.


Dato’ Mohd Shukri Abdull
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi)
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Putrajaya
18 Oktober 2013

Pemilik Premis Di Denda RM125,000 dan Penjara Sehari Kerana Merasuah Jurutera Kanan TNB


JOHOR BAHRU, 17 Oktober 2013- Seorang pemilik premis perniagaan, Ho Hann Sing dijatuhkan hukuman denda RM 125,000 dan penjara sehari setelah mengaku salah merasuah seorang pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Ho, 34 tahun mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Khas (Rasuah) 5, Johor Bahru, Johor, Mohamad Haldar Abdul Aziz atas kesalahan memberi rasuah kepada Jurutera Kanan di TNB Johor, Arizal Bin Ashari sebanyak RM25,000 pada 6 Jun 2013 di Restoran Khaja 7, No. 35, Jalan 2, Lima Kedai, Johor.

Kesalahan tersebut dilakukan sebagai dorongan supaya tidak diambil tindakan terhadap premis beliau iaitu Chin Tat Packaging & Trading, di Lot 259-260 Bt 15 Jalan Gelang Patah, Gelang Patah, Johor yang melakukan pengubahsuaian pemasangan meter TNB dimana kesalahan di bawah seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990 iaitu menggunakan elektrik TNB secara curang.

Perbuatan tersebut menjadi kesalahan di bawah peruntukan seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum dibawah seksyen 24 akta yang sama dan jika gagal membayar denda, Ho turut diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara selama 6 bulan.

Dalam pada itu, Hakim turut memutuskan agar wang rasuah RM25,000 dilucuthak di bawah peruntukan seksyen 40(1) ASPRM 2009 untuk dimasukkan sebagai hasil kerajaan Malaysia.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM , Puan Noor Fazlin Hamdan manakala tertuduh diwakili Norain Tupari sebagai Peguam Bela.

Tamat

Wednesday, 9 October 2013

Maklumbalas Kepada Kenyataan Menteri Pertanian dan Asas Tani

SPRM ingin merujuk kenyataan Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Ismail Sabri Yaakob semalam yang menegaskan bahawa kementerian tidak akan melindungi mana-mana kakitangannya yang didapati terlibat dengan gejala rasuah membabitkan nelayan asing.


SPRM menyangjung tinggi dan menghargai maklumbalas proaktif yang dikeluarkan Menteri tersebut berhubung isu ini.


Kesediaan dan kerjasama ditunjukkannya beliau sekiranya melibatkan anggota kementeriannya amatlah dihargai dan SPRM menyeru agar ia dicontohi mana-mana kementerian dan agensi penguat kuasa lain.


Komitmen ditunjukkan YB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengambil tindakan tegas membatalkan serta-merta lesen pengusaha bot yang menyewa atau memajakkan bot mereka sepenuhnya kepada nelayan Vietnam ini telah membantu mengekang pencerobohan tersebut. SPRM   menyokonig komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh Menteri Pertanian dan Asas Tani dan sedia bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Asas Tani demi kebaikan orang ramai terutama golongan nelayan.


Kenyataan beliau rentetan dari tindakan SPRM dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia yang berjaya memberkas lapan lelaki bagi membantu siasatan kes bersindiket berkenaan dan sehingga ini SPRM telah menyita sejumlah wang RM1.2 juta yang digunakan untuk merasuah penguat kuasa.


Datuk Mohd Shukri Abdull
Timbalan Pesuruhjaya (Operasi)
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Putrajaya
2 Oktober 2013

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Blok D6, Kompleks D
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
Peti Surat 6000, 62007 Putrajaya